4.30.2012

Gadis Pembancuh Kopi


Pagi ini, aku mulakan pagi aku dengan pergi ke Coffee Bean, Ipoh. Aku mesti ada sekurang-kurangnya satu sesi mengopi. Susah juga bila dah ketagih dengan kopi. Ramai juga orang di Coffee Bean pagi itu. Dari apa yang aku dapat lihat, ada yang datang bersama keluarga, ada yang seorang diri, ada yang bersama pasangan dan ada yang sepertinya sedang membincangkan perihal projek yang boleh memberi pulangan sehingga jutaan ringgit. Serius benar riak wajah mereka. Aku biarkan sahaja mereka sebab misi utama aku adalah untuk mengopi di waktu pagi.

Panjang juga barisan di kaunter. Di hadapan aku sahaja sudah ada 4 orang pelanggan. Aku yang ke-5. Lambat juga penjaga kaunter ini ambil pesanan. Aku amati nama di tag namanya. Joy. Lambatlah kau ni, Joy. Ketika sedang asyik menunggu giliran untuk membuat pesanan, aku perasan ada seorang gadis comel di balik kaunter itu. Dia bercermin mata, rambut panjangnya diikat kemas, dan ada topi dikepalanya. Sibuk membancuh kopi untuk pelanggan-pelanggan di situ. Baiklah, ini rahsia yang aku rasa bukan rahsia lagi. Gadis yang berkacamata, ada lesum pipit adalah makhluk tuhan yang paling cantik dijadikan Dia. Tambahan pula, dia tahu membancuh kopi. Untuk seorang lelaki yang gilakan kopi seperti aku, itu ada lah ciri-ciri yang cari untuk calon isteriku.

Sewaktu giliran aku tiba, terbit satu haruman yang aku rasa lebih wangi dari kasturi. Jika tadi aku hanya mampu lihat dari jauh, kini dia ada di depan aku, mengambil pesanan aku. Aku lihat mata di sebalik cermin mata itu. Cantik. Aku lihat senyuman ikhlas itu. Manis. Senyuman manis dan mata yang cantik. Aku suka. Ah, jika lebih lama aku lihat dia sebegitu, boleh pecah cermin mata dia. Mungkin juga calar-balar wajahnya dek tajamnya padangan aku. Aku cuba susun kata.

"Ya, encik. Boleh saya ambil order?"
"Okay. Bagi saya Mocha Iced Blended satu. Coffee bagi strong. Letak krim juga ya."
"Okay. Nama encik?"
"Oh, nama saya Ariff. Nama cik?" Aku sengaja mengusik dia.
"Haa...?" Dia terkejut dengan persoalan aku tadi.
"Hahaha. Saya gurau saja, cik....Nadia.Okay, cik Nadia. Erm, boleh bagi resit?" Aku jeling tag namanya.
"Haa...sekejap. Okay, nah. Terima kasih, encik." Dia senyum dan beri resit kepada aku.

Seketika kemudian aku nampak dia tersenyum sambil membancuh kopi yang aku pesan sebentar tadi. Dia nampak seperti seorang professional dalam bidang membancuh kopi. Semuanya berjalan dengan lancar. Sukatan kopinya, berapa ketulan ais yang patut ada, berapa banyak krim yang patut diisi, dan yang paling aku kagum dia bancuh kopi aku sambil menyanyi lagu yang ketika itu sedang berkumandang di radio. Lagu kegemaran aku juga sebenarnya. Every Breath You Take nyanyian The Police. Kami masing-masing seolah berjanji untuk menyanyi bersama.

Dan kemudian Nadia datang kepada aku yang berdiri sambil memeluk tubuh di ruangan menunggu. Menunggu kopi yang aku rasa bakal menjadi kopi yang paling sedap pernah aku minum. Dia memanggil nama aku.

"Encik Ariff! Encik Ariff!"
"Ya, saya cik Nadia. Saya kat sini je. Tak payah jerit." Aku senyum kepada dia.
"Okay. Ni air encik. Terima kasih. Datang lagi." Nadia berikan senyuman yang manis kepada aku. Lebih manis daripada senyuman yang dia berikan kepada aku di kaunter tadi.
"Okay. Esok saya datang lagi ya."

Nadia hanya tersenyum melihat aku. Bibir aku terus menyedut Mocha Iced Blended yang memang kegemaran aku ini. Benar seperti apa yang aku fikirkan. Inilah kopi yang paling sedap pernah aku minum. Aku tersenyum sepanjang perjalanan aku ke pejabat. Senyuman yang paling bahagia pernah terukir di wajah aku. Sekarang aku punya alasan untuk habiskan duit aku untuk kopi. Esok aku perlu rangka rancangan yang lebih terperinci untuk menarik perhatian Nadia.

Ya, aku sudah jatuh cinta agaknya.



No comments: