Setiap petang selepas selesai latihan ragbi, Alief akan melintasi kawasan asrama perempuan. Sambil berjalan dengan badan berpeluh dan kaki yang dipenuhi lumpur, matanya tertumpu ke arah beranda bilik B-07-03. Ada seseorang di dalam bilik itu yang membuat Alief tidak sabar untuk pulang setiap kali selesai latihan ragbi. Luna. Seorang pelajar jurusan senibina yang berbintang Cancer.
Pernah sekali Alief menegur Luna ketika dia dalam perjalanan pulang dari studio lukisannya. Tetapi, setiap kali berhadapan dengan Luna, Alief jadi gugup dan berpeluh. Luna hanya ketawa melihat telatah Alief dan terus berjalan meninggalkan dia. Alief tidak akan berpuas hati selagi dia tidak dapat berbual atau mungkin makan malam bersama Luna.
Khabarnya, Luna itu seorang yang pendiam. Dia jarang bercakap dengan orang disekelilingnya. Biasanya dia akan dilihat berada di bawah pokok ceri berhampiran dengan padang ragbi. Dia lebih gembira bersendirian bersama buku nota berwarna coklat dan xylophonenya. Dari situlah Alief tahu tentang Luna. Sejak itu, Alief mula bertanya pada kawan-kawannya tentang Luna.
Hari ini hari jadi Luna. 5 Julai. Tahun ini Luna sudah pun berusia 21 tahun. Alief merancang untuk meraikan hari jadi Luna. Alief masih berfikir-fikir apa yang Luna paling mahu pada hari ini, pada hari jadinya yang ke 21. Teringatkan tentang Luna yang sentiasa bersama dengan xylophonenya di bawah pokok ceri, Alief belikan teddy bear warna coklat untuk Luna. Dia tidak tahu apa kena mengenanya teddy bear dengan xylophone, dia cuma mahu meraikan hari jadi Luna.
Petang ini, seperti biasa Luna akan duduk di bawah pokok ceri sambil bermain dengan xylophone berwarna pelangi miliknya itu. Alief sudah pun menunggu Luna di belakang dewan berhampiran dengan pokok ceri itu. Alief perlahan-lahan datang kepada Luna dan menjerit, "Selamat ulang tahun, Luna!". Luna terkejut lalu mencucuk dada Alief dengan kayu pengetuk xylophonenya sehingga dada Alief berlubang.
Alief terbaring di atas tanah sambil tangan kanannya memegang teddy bear berwarna coklat dan tangan kirinya memegang coklat Cadbury Black Forest kegemaran Luna yang di atasnya dilekatkan kad bertulis "Selamat ulang tahun, Luna. Dari, Alief.". Luna mula panik. Lubang di dada Alief semakin membesar setiap kali Alief menarik nafas. Luna cuba melihat lubang di dada Alief. Dia nampak hati Alief berdegup dengan laju. Tiba-tiba, ia berhenti berdegup. Luna terduduk di tepi Alief. Menangis.
Luna cuba memegang hati Alief yang berhenti berdegup. Perlahan-lahan dia menyentuh hati Alief. Tiba-tiba, ada satu suara kecil menegurnya. "Hey, kau nak buat apa tu?" Luna terkejut. Dia melihat ke kiri dan kananya tetapi tiada sesiapa pun. "Hey, aku tanya ni. Kau nak buat apa tu?" Suara kecil itu bertanya lagi. Luna terlihat ada seperti manusia mini yang keluar dari pintu hati Alief. Dia kelihatan seperti...Luna. Rambut pendek berwarna oren, berkaca mata yang bingkainya hitam dan besar, memakai skirt hitam polka dot putih dan kasut berwarna putih.
Luna bertanya, "Kau siapa? Apa kau buat di dalam hati dia?" Manusia mini itu melihat Luna dan menjawab, "Aku ini kau. Aku yang berada di dalam hati Alief selama ini. Kenapa kau buat dia macam ni?" Luna mulai bingung. Luna meminta maaf dan menutup lubang di dada Alief dengan buku notanya. Takut juga jika diteruskan perbualan itu. Jadi Alief suka pada Luna secara diam? Luna teringat yang dia bawa bersamanya xylophone hikmat, hadiah ulang tahun kelahirannya pada usia 17 tahun dahulu. Dia mainkan lagu yang diajar oleh ibunya. Dengan penuh fokus, Luna bermain xylophonenya. Tubuh Luna mula berpeluh.
Tiba-tiba, Alief menarik nafas panjang kemudian terbatuk-batuk seperti mangsa lemas yang diselamatkan dengan teknik CPR. Luna mengangkat buku nota yang jatuh di tepi Alief bila dia bangun menepuk dadanya. Dada Alief tidak berlubang lagi. Luna tersenyum. Alief melihat Luna dan memberikan teddy bear dan coklat kepada Luna. Luna mencium pipi Alief dan mengucapkan terima kasih. Mereka ketawa bersama-sama. Luna bermain xylophone sambil mereka berdua menyanyikan lagu Terukir Di Bintang sambil melihat matahari terbenam.
Keesokkan harinya, Luna tidak lagi kelihatan berjalan seorang diri. Dia kini berjalan bersama Alief, teman lelakinya.
No comments:
Post a Comment