8.29.2012

Sebuah Pesanan Yang Tak Tersampai

Aku gemar memandu di waktu malam walau pun penglihatan aku agak terhad pada waktu malam. Ini kerana di waktu malam, aku akan memandu sambil membuka tingkap dan membiarkan angin malam bertiup lembut rambutku dan menyentuh wajahku sambil aku memandu ke destinasi yang misteri. Ia misteri selagi aku tidak sampai ke sana. Langit malam juga di penuhi bintang-bintang dan bulan yang terang. Terangnya sampai ke bawah dan ia sangat menenangkan, dan malam punya wangiannya sendiri. Itu pun jika kamu betul-betul menghayati malam kamu.

Aku gemar melihat hujan turun dari tingkap kamar bilikku. Melihat air hujan turun dan membasahi bumi yang sebenarnya kering adalah satu momen yang bagi aku sangat berharga. Aku gemar menikmati momen ini sambil ditemani secawan Nescafe panas dan mungkin juga sepiring roti bakar. Ya, itu pun jika aku rajin untuk membakar roti ketika hari hujan turun. Tapi, Nescafe itu harus ada ya. Harus.

Aku gemar duduk di tempat ramai orang lalu-lalang. Aku hanya akan duduk di situ dan melihat orang lalu-lalang sambil mendengar lagu-lagu dari dalam iPod yang sentiasa ada bersama aku. Melihat orang lalu-lalang itu, sedikit sebanyak dapat aku lihat perangai manusia yang mungkin adalah perangai dan sifat kita sendiri. Berjalan sambil menunduk kan kepala, berjalan sambil ketawa sekuat hati seperti hanya dia seorang yang punya suara. Ia menarik hati aku untuk membaca bahasa tubuh manusia disekeliling ku.

Lagi....apa yang aku gemar? apa yang aku suka?

Ya, aku suka kamu. Diam-diam aku suka kamu. Dan mungkin juga kamu tahu, atau mungkin kamu tidak tahu yang ada seorang pria menyukai kamu, menyintai kamu secara diam-diam tanpa memberitahu kepada kamu. Kenapa? Mungkin kerana aku tahu tiada kemungkinan untuk aku mendekati kamu. Ianya seperti sebuah mimpi yang tinggi untuk dicapai. Ia tak mustahil tapi susah. Dan aku terima untuk kekalkan rasa ini bersama aku, sekurang-kurangnya aku tahu yang aku ada seseorang yang aku sayang di dunia ini.

Aku sudah menyintai diri kamu, tetapi adakah kamu menyintai diri kamu sendiri seperti mana aku menyintai diri kamu? Tolong ya. Sayangi diri kamu dan jaga lah diri, kerana aku berada jauh dari kamu dan aku tidak mampu lakukan itu. Kekal tersenyum ya, gadis?

2 comments:

Fyn. said...

Who is the mystery girl ? I bet she is lucky to have somebody like you :)

Ariff Masrom said...

Dia ada lah sebuah mimpi yang saya selalu mimpikan. Malangnya, dia tidak tahu. :)