Showing posts with label Catatan Persendirian. Show all posts
Showing posts with label Catatan Persendirian. Show all posts

10.27.2013

One Song, A Thousand Memories.

Aku selalu percaya bahawa segala yang datangnya itu jujur dari hati, aku pasti ia akan sampai terus ke hati orang lain. Seperti berkongsi apa yang aku rasa dalam hati. Aku mengatakannya terus berulang-kali kepada diri aku atau kepada orang lain. Segala sesuatu yang berasal dari hati, tetap akan sampai ke hati semula. Setiap yang ditulis dari hati, tetap akan sampai ke hati semula. Setiap apa yang dinyanyikan dari hati, tetap akan sampai ke hati juga. Dan perihal hati ini membuat aku belajar banyak benda, contohnya lagu.

One song, a thousand memories. Details.

Aku tidak pasti kalian semua, tapi aku punya ingatan yang agak kuat tentang perkara-perkara detail di ketika aku berada di dalam satu perjumpaan yang serius atau mungkin dalam perbualan yang serius. Perkara-perkara seperti suasana, percakapan, warna baju, raut muka, bau perfume yang diguna, hinggalah kepada lagu yang dimainkan ketika itu. Ya, kadang-kala sebuah lagu boleh memanggil kembali segala memori yang ada dan ia mampu membuatkan yang ia baru berlaku semalam.

Ah, mencintai seseorang adalah satu perkerjaan yang boleh menjadi sesuatu yang mudah dan dalam masa yang sama boleh menjadi sesuatu yang sukar. Seperti aku, sukar untuk aku mencintai seseorang dan jika benar hati ini sudah jatuh cinta, ia pasti akan jatuh sedalam mungkin dan aku pasti jika kamu mahu melihatnya, ternyata satu usaha yang sia-sia kerana ianya terlalu dalam.

Dan biasanya jika ditanya mana-mana pasangan, pasti mereka ada lagu masing-masing sebagai "lagu kita" atau mungkin pasangan yang sudah berpisah. Pasti ada lagu-lagu tertentu yang akan mengingatkan kembali mereka kepada orang yang pernah mereka cintai - sedang mencintai - atau mungkin juga "cinta yang bertepuk sebelah tangan". Pasti ada.

Seperti aku, ada sebuah lagu yang masih segar setiap detailnya dan tanpa sedar aku mencintai lagu itu seperti mana aku mencintai dia yang mengingatkan aku kepada lagu itu. Contohnya, "The Man Who Can't Be Moved" mengingatkan aku kepada seseorang, ketika aku mula berkenalan dengannya dan ya, ianya sesuatu yang bagi aku sesuatu yang bagus. Dan bermula dengan lagu itu, datanglah lagu-lagu yang lain dan akhirnya kalau aku susun kesemua lagu-lagu itu, aku akan dapat satu kompilasi lagu-lagu terhebat.

Dan walau pun kisah akhirnya tamat, lagu-lagu itu masih kekal di dalam playlist aku. Playlist yang aku namakan "Lagu yang kita suka." Dan mungkin di satu masa nanti, kita akan terbuka playlist itu, setkan ia bermain secara rawak dan membiarkan ia mendendangkan lagu-lagu yang pernah menjadi siulan satu masa dahulu. Setiap memori yang asalnya tersimpan jauh di dalam kotak minda, akhirnya keluar dan bermain dengan sendiri, setiap momen yang pernah dilalui kerana lagu punya kuasa mistik, ya, mistik. Kuasa yang mampu mengembalikan kenangan dan .....

Jadi, adakah kamu juga punya lagu-lagu tertentu yang membuatkan kamu teringat kepada seseorang?

10.18.2013

Random

Pagi ini di saat aku terjaga dari tidur, aku dapat rasakan yang aku harus menulis sesuatu. Sesuatu yang aku rasa dapat mengurangkan rasa yang entah bagaimana hendak aku gambarkan di dalam hati aku. Ini kerana bagi aku menulis adalah satu terapi untuk hati dan minda aku yang akan aku lakukan setiap kali aku mengalami tekanan di tempat kerja atau mungkin di saat kau hadir dalam kotak pemikiran aku. Aku yakin kali ini aku memilih alasan ke dua untuk menulis.

Tiada apa-apa yang khusus untuk aku tuliskan. Hanya perkara-perkara yang terlintas di ketika aku ketika itu dan ketika ini perkara random yang bermain di fikiran aku adalah aku ingin pergi ke KLIA hanya untuk makan sepotong kek coklat di kedai Secret Recipe, tak kisah lah berteman atau tidak. Aku hanya mahu menikmati sepotong kek sambil melihat orang ramai di sana.
Oh, kamu pernah rasakan sesuatu seperti ini?

Pagi ini juga aku bangun dari tidur dengan perasaan yang tidak tentu. Perasaan di mana aku rasa ingin menulis sesuatu untuk kamu, tetapi aku rasa ia bukanlah sesuatu yang bijak atau boleh aku katakan sesuatu yang tak masuk akal untuk menulis kepada kamu tetapi kamu tidak pula membacanya. Dan jika benar kamu ada membacanya, apakah kamu akan meninggalkan apa-apa tanda atau nota hanya untuk maklumkan pada aku yang "Ya, aku ada baca apa yang kamu cuba sampaikan pada aku ini.". Dan sekurang-kurangnya aku rasa ianya sesuatu yang bagus dan mungkin aku akan menulis kepada kamu sekali lagi.

Akhirnya, aku mengambil kata putus untuk teruskan sahaja menulis tanpa membiarkan persoalan yang aku cipta sendiri sebentar tadi menjadi batu penghalang untuk aku terus menulis. Aku sendiri tidak pasti sama ada kamu ada datang membaca kerana tiada apa-apa tanda atau nota yang ditinggalkan.

Oh, ini adalah catatan aku ketika aku bangun dari tidur. Semuanya random dan aku teruskan menulis apa sahaja yang terlintas di fikiran. Dan perkara yang terlintas sekarang di kepala aku ialah kamu harus ingat bila mana kamu dalam keadaan marah atau letih, kamu haruslah cuba mengawal diri daripada melakukan sesuatu di luar kawalan kamu atau mungkin pertuturan kamu yang mampu menyakitkan hati orang yang mendengarnya. Belajar mengawal emosi. Itu penting dan aku masih belajar mengawal emosi.


6.16.2013

Hujan Lagi

Pagi ini aku bangun dari tidur dan membayangkan akan ada cinta yang hadir dalam bentuk satu susuk tubuh wanita yang mampu buat aku tersenyum sendirian lalu menutup muka dengan bantal kerana malu diperhatikan olehnya. Dan aku membayangkan susuk tubuh wanita itu, kamu. Aku cuba menyesuaikan diri dengan keadaan sekarang yang mana aku mula merasakan manisnya cinta dan aku percaya ini adalah fasa pertama dalam usaha untuk memiliki satu cinta yang mampu buatkan aku bahagia hanya dengan membenarkan hati aku mencintai kamu.

Kemudian hujan turun dengan lebat di luar. Ah, aku sangat menyukai hujan dan aku dalam diam sebenarnya menyukai bau yang terhasil apabila air hujan jatuh ke atas rumput dan timbunan batu. Ia mengingatkan aku kepada sesuatu yang menyakitkan aku dari dalam. Dan aku termenung seketika. Apabila aku tersedar dari lamunan, aku menoleh ke arah kanan aku, dan kamu hilang. Tiada lagi bayangan kamu, bau harum rambut kamu, tiada. Sepertinya kamu juga tidak pernah ada. Selepas itu aku tidak lagi menyukai hujan seperti dahulu. 

Ah, mungkin aku perlu sambung tidur semula.

4.18.2013

Momen Indah Milik Kita Semua

Pagi ini hujan turun dengan lebat di luar. Ini membuatkan aku rasa seperti malas hendak mengangkat punggungku atau pun kepala ku dari tempat tidur dan meneruskan kehidupan ku sebagai seorang lelaki biasa yang melakukan kerja-kerja yang biasa. Pernah juga aku impikan untuk bangun dari tidur dan di saat aku melihat ke luar dari dalam bilik, aku nampak salji turun dari langit dan menutup kawasan lapang di hadapan rumah aku.

Dulu ketika kecil, seingat aku ketika itu aku berusia 8 tahun. Aku suka mengambil kusyen-kusyen di atas sofa serta selimut dan aku menyusunnya satu persatu dan akhirnya ia membentuk sebuah tempat perlindungan yang nampaknya seperti rumah dan hanya aku sahaja yang boleh masuk ke dalamnya. Aku jadikan tempat itu sebagai tempat rahsia aku. Tempat untuk aku bersendirian dan tinggalkan dunia luar untuk masuk ke dalam dunia yang aku cipta sendiri dengan hanya berbekalkan beberapa kusyen merah dan sehelai selimut hijau yang pada ketika itu sama warnanya dengan dinding rumah aku.

Aku ada satu kotak kayu di dalam rumah itu. Ya, ia seperti sebuah rumah untuk aku. Pernah juga aku impikan untuk membuat rumah di atas pokok bersama ayah aku tapi di kawasan rumah aku tiada pokok yang sesuai untuk dibinakan rumah di atas nya, dan ayah juga tidak selalu luangkan masa dengan aku ketika aku kecil. Mungkin sebab itu aku banyak habiskan masa sendirian bermain Lego atau pun melukis di atas buku lukisan yang aku beli waktu rehat di sekolah.

Pernah juga aku tertidur di dalam itu dan keesokkan harinya aku sudah pun berada di atas katil. Ya, aku tahu ayah yang angkat aku dan letakkan aku di atas katil. Aku masih tidak tahu kenapa aku suka duduk di dalam sana. Walau pun sedikit panas, tapi aku rasa nyaman bila berada di dalam sana. Mungkin betul, aku mahu bersendirian dan mengasingkan diri aku dari dunia luar.

Ketika berada di dalam rumah itu, aku membayangkan ada gadis itu bersama aku. Bersama aku di dalam dunia aku. Dia itu yang aku lupa namanya, ialah seorang gadis yang menyandang jawatan penolong ketua kelas ketika itu di sekolah aku. Aku pula ketua kelas ketika itu. Jadi, aku dan dia banyak juga habiskan masa bersama. Pernah juga aku rehat bersama-sama dengan dia di kantin dan kami berkongsi nasi goreng udang yang mama gorengkan untuk aku. Sengaja aku minta mama gorengkan lebih sebab aku berkongsi makanan dengan kawan aku.

Ah, mungkin sebab itu aku suka duduk di dalam sana. Kerana bila di dalam sana, aku sepertinya seorang lelaki yang bahagia dengan dunia aku. Hanya ditemani dengan susunan Lego aku dan buku lukisan aku, itu sudah cukup untuk membuatkan zaman kanak-kanak aku gembira dan bahagia. Ia mampu membuatkan aku mencipta mimpi-mimpi manis dengan membenarkan gadis itu masuk ke dalam dunia aku dan kami bersama-sama menyusun Lego.

Zaman kanak-kanak memang satu momen yang tak akan kita lupakan kerana walau pun kita sudah berusia 20 tahun, 30 tahun atau mungkin 40 tahun, zaman kanak-kanak tetap akan kita ingat kerana walau pun jasad kita sudah tua, masih ada secebis memori zaman kanak-kanak di dalam kotak memori kita dan mencipta satu sisi kanak-kanak dalam diri kita yang akan kekal begitu walau pun kita sudah berusia. Dan aku, masih teringatkan zaman kanak-kanak aku setiap kali aku terlihat Lego dan buku lukisan.

3.20.2013

Dan Aku Mula Mencipta Mimpi Dengan Kamu

Ianya seperti secawan mocha yang memerlukan sukatan kopi dan coklat yang secukupnya uintuk melahirkan rasa mocha yang enak. Seperti juga aku dan kamu. Kita. Saling memerlukan dan melengkapi antara satu sama lain, aku dan kamu untuk mencipta sesuatu yang dipanggil kita. Ia mungkin akan jadi terlalu pahit atau mungkin terlalu manis, tetapi sekurang-kurangnya kita masih satu. Mungkin itu lah kita sekarang. Aku dan kamu.

Ah, bukan. Ini bukan cinta. I'm not in love. We're not in love. Mungkin juga, momen yang sesuai itu belum tiba untuk kita berdua bertukar hati sesama kita dan berjanji untuk menjaga hati yang akan diambil seperti hati sendiri. Ia nya seperti satu rasa yang sukar untuk digambarkan. Apa yang aku mahu, hanya kamu sentiasa ada bersama aku. Hanya mendengar gelak tawa kamu, suara kamu memanggil nama aku, senyuman manis yang jarang sekali kamu lemparkan kepada dunia dan mungkin kerana itu aku rasa senyuman kamu itu ibarat salah satu nikmat dunia yang Tuhan tunjukkan kepada aku. Ia hadir dalam bentuk seorang bidadari syurga. Kamu.

Dan jika ini yang dinamakan cinta, maka aku sekarang sudah bersedia untuk jatuh cinta. Dan aku hanya bersedia untuk jatuh cinta kepada kamu sahaja. Tapi, aku sudah letih untuk jatuh berulang kali tanpa sesiapa yang sudi untuk menghulurkan tangan, mengangkat aku untuk bangun dan berdiri bersebelahan dengannya dan berborak tentang hati, mungkin. Lalu, aku mengambil masa yang lama untuk bercuti untuk jatuh cinta. Mungkin cuti sudah tamat, dan aku sudah sedia untuk menyintai sekali lagi.

Dan jika kamu tanya kenapa aku bercuti daripada bercinta, mungkin jawapannya kerana kali terakhir aku jatuh cinta, aku jatuh di dalam satu gaung yang dalam berbekalkan hati aku yang menyala dengan api cinta yang katanya bakal menjadi lebih marak selepas ini. Tapi, malangnya aku dibiarkan keseorangan di dalam gaung itu seorang diri sehingga api yang menyala dalam hati semakin malap dan akhirnya, padam.

Tapi, mungkin kamu ingin tahu bagaimana seorang lelaki yang berselindung di sebalik kacamata ini mampu mencintai seorang gadis yang cantik seperti kamu? Maaf, tetapi aku tiada jawapan untuk soalan itu. Bagi aku cinta ini ibarat secawan cappuccino. Enaknya diminum panas-panas, tapi risikonya ia akan cepat habis. Tapi kalau diminum perlahan-lahan, risikonya nanti cepat sejuk. Aku tidak kisah sejuk atau panas, yang aku mahu hanya di dalam tubuh aku, mengalirnya cappuccino itu jika ianya cinta milik kamu. Cinta memang sesuatu yang lucu.

Saat ini aku hanya ingin berjumpa kamu. Bertentang mata dengan kamu. Memandang tepat ke dalam mata kamu melalui kacamata yang akan berwap setiap kali aku memandang tepat ke mata kamu kerana kamu rasa gementar. Comel. Kerana rasa yang berada di dalam hati ini semakin lama semakin bertambah dan bercambah, dan sesungguhnya aku tidak mahu ianya dipanggil cinta. Aku khuatir aku terlalu terburu-buru dan kamu akan berasa kurang selesa. Walau pun, seperti kata ibu, "tiada yang terlalu cepat atau terlalu lambat dalam bercinta. Jika cinta itu ada, mengapa biarkan ia menjadi satu rahsia?"

Jadi, aku sudah bersiap sedia dengan sepasang tiket untuk ke konsert Backstreet Boys hujung minggu ini dan aku sudah siapkan sejambak mawar merah dan sekotak coklat kegemaran kamu. Ketika kita bertemu nanti dan mereka berlima di pentas mendendangkan lagu As Long As You Love Me, aku akan bertanya begini kepada kamu,

"Hey, saya ingin pergi mengayuh gondola di Venice, bermain gitar di kaki lima dan melihat matahari terbenam di sana. Kamu mahu ikut aku?"

3.10.2013

Dan Rasa Rindu Itu Milik Kamu Hari Ini


Ya, nampaknya aku sudah mula rindukan kamu sejak kali terakhir aku hantar kamu ke pintu rumah kamu tempoh hari. Sejak hari itu, aku tidak lagi nampak kamu di bangku kayu yang sama itu, mahu pun kerusi rona biru di sudut hujung dewan kuliah ini. Tempat kegemaran kamu.

Kalau sudah begini rasa rindu yang datang berbisik ke hati aku dengan perlahan "ya, kau rindu dia. Jangan tipu hati kau", apa yang mampu aku lakukan adalah mengkhayalkanmu ada di sini bersama aku. Kamu bercerita tentang zaman kanak-kanak kamu sambil melihat teman-teman sekuliah bermain layang-layang buatan sendiri di padang berhampiran dewan kuliah. Ya. Mengkhayalkan setiap detail yang aku ingat tentang kamu yang masih kekal berada di dalam kotak minda aku. Lalu aku merasa kalau benar rasa rindu itu tidak ubah seperti kumpulan cerita-cerita lalu yang dikumpulkan kembali di masa kini dan ditayangkan di hadapan mata aku. 

Ya, nampaknya aku sudah mula rindukan kamu.

Aku sempat bertanya kamu semasa aku meneman kamu pulang dalam hujan tempoh hari, kenapa kita tidak pernah rindukan “masa depan.” Kau hanya ketawa kecil sambil mengikat rambutmu yang separas bahu itu dan disanggulkan di atas kepala kamu. Mungkin kamu tidak tahu yang aku suka gadis yang sanggulkan rambutnya di atas kepala. Ia nampak kemas dan mungkin juga seksi di mata aku. Lalu aku menjawab soalan ku sendiri kerana mungkin kamu malu untuk berbicara dengan aku. Aku tidak mahu kamu rasa kekok berjalan bersama aku, lalu aku teruskan perbualan. Mungkin rasa rindu itu tercipta untuk kamu, aku dan mereka mengingati kembali momen-momen indah atau mungkin sedih yang pernah mereka lalu satu ketika dahulu dan berharap ia mampu diulang sekali lagi hanya untuk merasai seronok atau mungkin sedih yang akhirnya meninggalkan kesan kepada diri mereka. Contohnya, momen aku berjalan bersama kamu tempoh hari.

Ya, nampaknya aku sudah mula rindukan kamu

Rasa rindu itu bagi aku hanyalah satu hal remeh, yang akan membuatkan kamu rasa bersyukur dalam-dalam di hati kamu kerana kamu sebenarnya memiliki seseorang. Seseorang yang menjadi pemilik rasa rindu kamu ketika itu. Lalu, apa hubungannya gerimis di pagi hari ini dengan rasa rindu ini kepada kamu? Jawabannya, bau-bauan hujan yang aku hidu tempoh hari sama seperti bau-bauan hujan pagi ini. Dan seperti yang aku beritahu tadi, momen yang paling indah antara aku dan kamu adalah hari aku memayungi kamu pulang ke rumah.

Mungkin hanya sekadar mengingati sepasang kasut Toms rona merah lusuh yang tersarung di kaki kamu, seluar jeans hitam yang berlipat sedikit di bahagian kakinya kerana terlalu panjang untuk kamu yang agak pendek tapi comel, kacamata kamu yang bingkainya berwarna hitam dan ada hiasan berkilat di tepinya, dan juga minyak wangimu. Wangi. Aku suka wangianmu, itu yang membuat aku sanggup meneman kamu
dan duduk  begitu dekat denganmu. Karena wangi tubuhmu yang menarik perhatian aku sejak kali pertama kamu melintasi aku tempoh hari ketika aku keluar dari perpustakaan dan aku nampak kamu mebawa novel tulisan Jeffrey Archer, salah seorang penulis kegemaran aku.

Ah, aku keliru apa kah rasa ini sebenarnya. Mungkin benar aku keliru. Tapi aku suka. Perasaan suka ini yang akhirnya membuat aku jujur kepada diri sendiri. Lalu menuliskannya di sini yang entah kamu akan baca atau tidak. Dan bukan hanya itu, yang buat aku rindu pada kamu adalah untuk duduk lama-lama lalu kita bercerita tentang hal-hal bodoh..lalu kita tertawa besar bersama-sama. Aku memikirkan, mungkin suatu saat kita bisa bersama dan menikmati kopi. 

Ya, aku suka kopi dan aku juga dapat tahu yang kamu sukakan coklat panas yang akan kamu minum bila hari hujan turun. Dan jika kopi dan coklat bersatu dalam satu cawan, tahukah kamu yang ia tidak mustahil malah ia punya namanya sendiri iaitu mocha? Ya. Aku harap satu hari nanti kita boleh jadi secawan mocha yang cukup manis dan pahitnya dan enak untuk dinikmati di hari hujan turun.

Oh, ini semua kerana rindu. Lalu kini, aku menyalahkan rasa rindu ini. Kerana rasa rindu ini datang menghampiri aku, akhirnya aku mampu mengingati setiap detail tentang kamu yang masih ada di dalam kotak minda aku. Mungkin satu hari nanti aku mampu mengajak kamu keluar untuk menikmati mocha bersama-sama. Mungkin soalannya akan berbunyi," Hey. Mahu kah kamu keluar bersama aku untuk minum secawan kopi atau mungkin coklat panas sambil berborak tentang buku, dunia, muzik, dan kita?"

3.07.2013

Dari Mata Seorang Lelaki



Bentuknya seperti kotak. Penuh dengan kaca. Aku melihat kamu daripada dalam kaca yang memenuhi kotak segiempat ini. Berselindung di sebalik kacamata ini. Kamu yang senang untuk aku intip gerak-gerinya, walau terkadang aku rasa malu sendiri kerana asyik melihatmu sehingga rakan-rakan ku menegur aku. 

Pernah sekali aku lihat kamu termenung seorang diri di bangku kayu berhampiran dengan dewan kuliah. Aku lihat air mata kamu mengalir perlahan di pipi dan tanpa disedari langit turut sama menangis dan aku masih berdiri beberapa langkah dari kamu, basah dalam hujan. Mungkin aku dapat kongsi rasa sedih yang buat air matamu yang bagi aku amat bernilai itu membasahi pipi kamu yang comel itu.

Bertemu dengan kejujuran itu mungkin sulit. Kejujuran yang entah kenapa tetapi rasanya seperti aku telah melakukan satu kesalahan, satu kesalahan besar iaitu terlanjur jatuh cinta sama kamu. Banyak hal yang membuatkan aku gementar, gugup, gemuruh dan dalam masa yang sama gembira, teruja dan bahagia setiap kali mata aku menangkap mata kamu yang secara curi-curi melihat aku dari jauh. Atau mungkin kamu yang menangkap aku melihat mu dalam diam di sebali kacamata ini? 

Biarlah. Yang pasti aku gembira walau hanya untuk sesaat itu. Kamu begitu pendiam dan mungkin juga bingun untuk hanya sekedar mendengar suara hatimu sendiri dan memandang aku sambil mengenyit mata kananmu. Ah! Hanya dengan membayangkannya sahaja telah buat aku tersenyum sendirian. Membayangkan kamu menolak kacamata kamu menggunakan tapak tangan itu, memang satu aksi yang menggugurkan jiwa ini.

Sudahlah! Jangan pikir kali ini saya gombal. Aku memang senang membuat puisi, tapi untukmu, rasa ini berbeda. Kamu bukan seperti gadis biasa yang pernah aku jumpa. Kamu masih saja diam. Tidak bergeming. Saya berdiri dan berjalan lebih dekat ke arah kamu. Kamu masih menangis dan tidak menyedari kehadiran aku di sini. Teras luar tampak basah. Hujan deras, menghajar dahan. Aku mengeluarkan payung dari dalam beg, tetapi tidak dibuka. Aku menadah tangan untuk merasakan dinginnya hujan di telapak tangan. Tiba-tiba aku bergetar, merasakan dinginnya.

Jarak itu semacam latihan keseimbangan. Berjarak atau mengambil jarak itu semacam berdiri sebagai Tuhan lalu melihat manusia dari kejauhan. Tapi, untuk terus melihat kamu menangis di bangku kayu itu, ternyata aku tidak mampu. Tentu saja saya percaya, Tuhan dapat berdiri dimana saja. Termasuk saat ini berdiri di tepi aku, mungkin. Dan Dia berbisik kepada aku untuk menghampiri kamu dan menenangkan kamu. Jadi, aku mengambil kata putus untuk menghampiri kamu dengan sekaki payung di tangan kanan dan berbisik lembut ke telinga kamu, "Mari pulang. Saya temankan awak pulang hari ini."

3.06.2013

Ada Apa Dengan Cinta?

Aku mengenali kamu tidak lah terlalu lama. Tetapi, aku dapat mengingati setiap apa yang ada pada kamu. Segar dalam ingatan. Kamu adalah seorang gadis berkulit putih tetapi sedikit kekuningan. Mungkin kerana genetik keluargamu. Anak matamu yang bulat dan galak yang bilamana setiap kali aku melihat, ia seakan-akan bercahaya memandang aku. Terletak elok di balik cermin mata yang sering kamu tolak menggunakan tapak tanganmu. Comel. 

Aku suka melihat kamu yang duduk di sudut hujung sebelah sana setiap kali kita berada di dalam satu dewan kuliah. Kamu sentiasa membelek atau mungkin membaca buku yang aku sendiri tidak pasti sama ada buku teks atau pun novel indipenden. Aku ada juga tertangkap kamu melihat aku di sebelah sini secara curi-curi. Saat kamu melarikan pandangan setiap kali tertangkap, amat comel bagi aku. Mungkin sudah lama juga, kamu ingin mengajak aku jalan-jalan. 

Setahu aku kamu adalah gadis yang lembut. Aku dapat merasakannya. Bahasa cintamu adalah sentuhan, kamu berbicara dengan berbisik-bisik dan kamu suka sekali menyentuh. Agar dapat kamu rasa apa yang ada di sampingmu.

Apalagi yang boleh aku gambarkan tentang kamu. Sampai hari ini, aku masih terobsesi dengan anak mata di sebalik kacamata lutsinar itu. Intuisiku mengatakan, aku akan diberitahu sesuatu melalui mata itu jika aku terus menatap ke dalam mata itu. Pernah juga aku rasa ingin terjun ke dalam anak mata mu dan biarkan aku lemas di dalamnya. Entah kenapa, ia seperti satu fantasi indah yang ingin sekali aku jadikan ia sebagai satu kenyataan. Dan entah kenapa juga bukan ciri yang lain melainkan lengan, aku sampai berpikir kenapa bukan rambut, pipi, atau bibir mu sahaja. Pasti aku akan dengan sangat gampang mengenalimu dengan lebih rapat. Tak mengapa. Aku akan cuba mencari keberanian dalam diri aku untuk menghampirimu dan berbisik perlahan ke telinga kamu, "Hi. Saya Ariff. Boleh kita berkenalan?"

3.02.2013

Pertanyaan

Hari ini saya bangun lewat lagi. Matahari sudah mula menjegil ke arah bumi. Cahayanya seakan-akan membakar kulit aku perlahan-lahan. Kamu pasti bangunnya awal pagi, bukan? Tak mengapa. Seperti biasa saya tidak berada di dalam fasa jatuh cinta. Tapi kamu pasti tahu kalau saya bohong. Ya, kamu kan pandai membaca mata dan tahu jika saya berbohong atau tidak. Mari lihat ke dalam mata saya dan beritahu awak nampak cinta atau tidak? Begini sahaja, sebenarnya saya sudah letih untukjatuh cinta. Saya hanya ingin ... istirahat. Istirahat dari jatuh cinta. Tapi kalau lah saya boleh halang diri saya daripada jatuh cinta, mungkin saya tidak akan rasa yang saya letih.

Ya, seperti itulah saya. Saya ingin istirahat untukjatuh cinta dengan kamu. Istirahat yang simple. Salah satu istirahat yang saya impikan adalah untuk memakai sepasang pajama rona merah padam atau mungkin kotak-kotak coklat. Meletakkan kepala perlahan-lahan di atas bantal empuk yang diisi kekabu dan katil spring bersaiz ratu hanya untuk saya. Berselimut separas dagu dengan kipas dibiarkan berputar di atas kepala dengan kelajuan maksimum. Tertidur dengan sendirinya. Tenang. Tanpa perlu memikirkan apa khabar kamu di sana, sudah tidur atau belum.Tanpa mengharap untuk bertemu di dalam mimpi dan bercinta di sana kerana tiada kesempatan di alam nyata. Atau mungkin memikirkan tentang masa depan kita untuk duduk di beranda rumah kita yang menghadap pantai sambil menikmati secawan teh strawberi yang akan saya bancuh untuk kamu. Tidak.

Tapi, bukankah tadi saya kata mahu beristirahat? Mengapa saya terus-terusan membayangkan tentang saya, tentang kamu, tentang kita? Mungkin kerana selama ini saya tidak pernah istirahat. Yang saya ini cinta. Dan cinta saya ada lagi untuk kamu. Kamu akan tahu ketika kita bertemu mengobrol bersama lagi. Dan kamu lihat ke mata saya.

Lihat ke mata saya. Selami mata hitam saya ini, dan terus ucapkan kepada saya. Apakah saya berbohong atau tidak? Kamu kan pandai membaca hati melalui mata empunya hati itu.

p.s: Ke mana perginya dia yang aku kenal 4 tahun dulu?

2.22.2013

Bermimpi Untuk Diri Sendiri

Seperti biasa, malam ini duduk di dalam bilik. Tukar yang biasa, hari ini aku belanja tekak aku dengan secangkir teh strawberry. Aroma harum strawberry memenuhi ruang dalam bilik aku. Aku biarkan suara Chris Martin menyanyikan lagu kegemaran aku, The Scientist. Perlahan rentak melodinya. Tidak terlalu rancak. Tenang.

Aku memikirkan tentang seseorang. Tenang siapa yang aku sendiri tidak tahu siapa. Adakah ini rindu atau teringat. Jika rindu, ternyata rasa rindu itu menyiksakan. Dan jika ini teringat, rela aku jadi pelupa dari terus menanggung seksa yang tidak aku tahu apa puncanya. Ini perasaan apa? Aku sendiri tidak tahu.

Ya, aku menuliskan tentang ini hanya untuk berkongsi  dengan kamu yang ternyata masih sudi membaca, memahami, berkongsi dan juga peduli tentang apa yang aku rasa. Mungkin juga, sekurang-kurangnya kamu cuba walau pada akhirnya kamu putus asa dan pergi meninggalkan aku. Teh yang aku minum rasa sedikit kelat. Kelatnya seperti rasa saat kamu tiada lagi untuk membaca apa yang aku mahu tulis.

Sebentar lagi gerimis akan keluar dari kelopak mata. Tinggal memeluk. Memeluk sesiapa sahaja, kencang-kencang. Aku sedang membayangkan suatu saat nanti ciuman yang aku simpan dan jaga untuk seseorang yang sudi berkongsinya dengan aku, akan habis. Kamu. Kamu tidak lagi menginginkannya. Kamu tidak lagi merindukannya.

Lalu dari sesuatu yang saya tulis ini saya inginkan setiap orang yang membaca tulisan ini untuk menemukan mimpinya. Atau mungkin cuba untuk bermimpi. Percaya pada mimpinya. Dan mulai membangun mimpinya dengan setia. Kongsikan apa yang kamu impikan dan terus jadikan mimpi kamu itu satu realiti yang akan buat kamu rasa gembira.

Haha. Seperti seorang yang hebat aku ini. Kononnya tulisan yang penuh kualiti. Tapi, ini yang ada di hati saya. Tidak mahu jadi seorang yang kedekut, aku kongsikan apa yang aku mimpikan.Untuk kamu yang masih sudi membaca, selamat bermimpi sebanyak mungkin. Dan jangan lupa bangun untuk mengerjakannya. Aku juga akan terus mengerjakan impian aku, untuk terus buat kamu tersenyum, sayangku.

2.14.2013

Cinta Dan Rindu

Pagi ini aku bangun daripada tidur dan mengharapkan akan ada satu pohon yang buahnya ialah cinta yang boleh aku petik sahaja dari tingkap aku dan aku makan sahaja buah cinta itu agar aku dapat terus merasakan cinta sepanjang hari ini. Dan di sisi katil aku ada segelas air rona merah yang aku panggil air jiwa yang bila mana aku merindui seseorang, aku ambil gelas itu dan terus teguk air di dalamnya dengan harapan rasa rindu ini akan terus kekal di dalam hati dan semakin kuat.

2.09.2013

Hatinya Seperti Tisu

Saya selalu percaya bahwa segala sesuatu yang datangnya itu dari hati saya pasti akan sampai ke hati orang lain. Berkongsi apa yang saya rasa dalam hati saya ini. Saya mengatakannya terus berulang-ulang kepada diri saya atau kepada orang lain. Segala sesuatu yang berasal dari hati akan sampai ke hati. Segala sesuatu yang ditulis dari hati akan sampai ke hati. Segala sesuatu yang dinyanyikan dari hati akan sampai ke hati. Dan akhir-akhir ini urusan hati ini membuat saya belajar banyak.

Entah saya hendak mulakan dari mana. Setiap apa yang saya lakukan akhir-akhir ini seperti mendewasakan diri saya. Semakin matang apabila akhirnya saya keluar dari zon selesa mengharapkan bantuan orang lain dan kini hampir semua kerjaan dilakukan sendiri tanpa minta bantuan orang lain. Bukan ego, cuma saya percaya yang jika saya sendiri tidak mahu cuba, apakah saya tahu perkara itu mampu untuk saya lakukan atau tidak.

Dan entah kenapa saya akhir-akhir ini begitu lembut hatinya. Haha. Mungkin kerana saya sedang bertarung dengan hati saya sendiri. Akal yang dikawal saya dan hati yang entah siapa mengawalnya dan sering berbeza pendapat dengan akal saya. Geram juga bila memikirkan pertarungan yang seperti tiada hujungnya ini.

Ya. Tidak semudah itu ternyata. Saya sampai juga saya pada kesimpulan bahwa pertarungan hati dan akal itu amatlah memenatkan dan menyakitkan diri saya sendiri. Dan tidak enak sekali rasanya bertarung begini. Saya syak saya patah hati dan akal kalah tipis dalam pertarungan itu. Kenapa patah hati? Kisah perihal hati ini memang susah nak dibahaskan.

*tarik nafas*

Lalu apa yang biasanya kamu lakukan pada saat pada patah hati?

Selain menangis, yang saya lakukan adalah menulis panjang lebar tentang apa yang saya rasa atau mungkin meminjam bahu dan berkongsi cerita hati dengan beberapa orang teman. Menulis. Dan menangis lagi.

Dan hey, lelaki juga boleh menangis. Kami juga ada perasaan.

11.04.2012

Pertemuan Pertama

Akan wujudnya satu hari atau mungkin tarikh yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila. Ianya hari kamu berjumpa dengan seseorang buat pertama kalinya. Pertemuan pertama. Setiap detail yang ada ketika itu, ketika pertemuan itu berlaku akan tersimpan kemas di dalam kotak memori otak kamu. Ia mungkin sebuah pertemuan pertama dan pertemuan terakhir, atau mungkin sebuah pertemuan pertama yang akhirnya membawa ke pertemuan yang lebih konsisten seperti bertemu di tepi tasik setiap hujung minggu atau pun makan malam bersama setiap malam Sabtu terakhir setiap bulan.

Apa yang akan kamu ingat pada pertemuan pertama itu akan memberi kesan kepada diri kamu. Ia akan buat kamu sentiasa memikirkan tentang pertemuan pertama itu. Seperti aku, aku juga punya satu pertemuan pertama yang memberi kesan kepada diri aku. Aku masih ingat matanya yang redup tapi bulat memandang aku, bau minyak wanginya yang membuatkan aku seperti terbang di tiup angin, senyumannya yang manis dan mampu mencairkan hati yang beku. Tidak dilupakan juga ucapan pertamanya dengan memberi salam dan tersenyum kepada aku. Mata yang aku tatap ketika itu bersinar. Persis mutiara.

Dan jujur aku katakan yang aku mahu terus lemas di dalam mata itu. Tenang seperti kolam yang tidak bergelora yang ditepinya punya pohon rindang. Aku mahu bersandar di pohon itu berada di sana selama-lamanya. Dan aku masih tertanya-tanya, apakah selepas pertemuan pertama itu akan ada peluang untuk wujudnya pertemuan kedua dan seterusnya? Aku masih menunggu dan terus membayangkan aku bersandar di pohon yang rindang itu berbekalkan memori yang aku ada di dalam kotak memori otak aku.

11.02.2012

Hujan Yang Memeluk Hatinya

Begitu banyaknya waktu yang ada untuk aku luangkan untuk diriku. Di bawah mendung yang tertahankan di awal hari yang bila mana diakhirnya nanti hujan akan turun sepanjang hari.

Hujan semakin lebat di luar rumah. Tingkap yang aku biarkan sedikit terbuka untuk memudahkan aku bernafas memberi ruang untuk air hujan membasahi lantai bilik ini.Dan sebentar lagi gerimis akan keluar dari mata yang tidak berhenti berkelip. Tinggal memeluk hati. Memeluk hati seerat-eratnya. Aku membayangkan hati itu dipeluk kemas, didakap erat tidak terlepaskan.

Dan aku cuma membayangkannya sahaja yang aku mampu lakukan. Ia tidaklah mencipta harapan yang ia akan berlaku, ianya cuma sebuah bayangan yang hadir bila mana hujan turun di luar rumah dan di dalam rumah. Hujan yang agak lebat.

Dan suatu saat nanti pelukan dan dakapan itu akan habis. Hujan berhenti seketika di malam hari selepas seharian memeluk hati. Membiarkan hati bernafas bermimpi sesuatu yang sering dibayangkan.

Atau hujan akan terus turun lalu memeluk hati dan ia terus tenggelam dalam bayangan, dan mati berharap.

10.11.2012

Secawan Mocha Yang Sudah Sejuk

Dan selepas berlari di dalam hujan petang semalam, aku pulang ke rumah. Aku membuat secawan Mocha panas untuk memanaskan badanku yang ketika itu sangat sejuk. Aku berdiri di beranda rumahku. Aku meminumnya perlahan-lahan sambil melihat hujan yang masih turun dengan lebatnya membasahi bumi.

Tiba-tiba ada soalan yang bermain di fikiran ku - apakah begitu dalam cinta kau kepada dia? Adakah itu cinta atau sayang hinggakan kau jadi begitu? Aku sendiri tidak faham entah kenapa akhir-akhir ini, setiap ucapan kata-kata cinta yang aku dengar membuatkan mataku berkaca dan akhirnya ia pecah dan - pipiku akhirnya basah.

Kemudian ada soalan lain pula datang dan berpusing di dalam kepala aku - bagaimana rasanya membenci seseorang itu? Aku jarang sekali hendak membenci sesiapa walau sesakit mana aku rasakan. Dan bagaimana hendak berkata tidak walau pun kita tahu ia ada? Soalan dan soalan lagi.

Aku bertanya dan terus bertanya kepada diriku, mencari jawapan yang aku sendiri tidak pasti siapa yang mampu menjawabnya. Kawan ku pernah berkata, "Mengapa kau sendiri tidak tanya diri kau, apa yang sebenarnya kau mahu kan? Itu lebih penting." Tanpa aku sedar, persoalan kawan ku tadi membuatkan aku menangis kembali. Lengan baju menggantikan tisu dan menyapu air mata yang meleleh.

"Hati boleh berubah. Manusia boleh berubah. Apa yang kita fikirkan akan sentiasa berubah mengikut keadaan." kawan ku berkata lagi. "Lalu, apa yang kekal? " aku menyoal kawan ku. "Memori." dia senyum kepadaku. Ah, memori. Jawapan yang bagi aku seperti sukar untuk aku terima.

Ia boleh jadi gembira dan sedih atau mungkin gabungan dua perasaan ini yang pada aku seperti kopi dan coklat. Ia boleh jadi sepahit kopi, menyakitkan dan menyedihkan. Ia juga boleh jadi semanis coklat, menyeronokkan dan menggembirakan. Atau, ia boleh jadi seperti mocha. Manis dah pahit yang bersatu dan menghasilkan satu rasa yang sukar untuk aku gambarkan. Aku minum lagi Mocha yang aku bancuh tadi. Ya, seperti ini.

Mungkin saat ini yang aku inginkan cuma - melupakan segalanya sebentar. Berharap untuk aku menipu diri sendiri dan tersenyum sambil berkata, "I'm fine." atau pun "I'm okay.". Tiada siapa akan persoalkan jawapan itu yang datangnya daripada seorang lelaki sama ada ia jujur atau pun ia hanya jawapan palsu yang digunakan untuk menipu mereka semua dan lebih teruk menipu diri sendiri.

Mungkin itu bukanlah sebuah harapan tapi doa, kerana katanya doa ketika hujan turun akan dimakbulkan Tuhan. Jadi, aku tambah sedikit doaku dan berdoa agar penipuan ini menjadi kebiasaan dan aku terlupa yang aku sedang menipu. Ah, Mocha aku sudah sejuk. Lebih baik aku habiskan mocha aku ini dan terus tidur sambil berselimut di dalam bilik.

10.10.2012

Jodoh

Seperti yang sering diperkatakan oleh mereka semua, "Kalau ada jodoh, kita pasti jumpa lagi." Aku tidak tahu jodoh dengan siapa, tapi aku yakin pasti ada pertemuan yang akan berlaku jika jodoh itu masih ada. Cuma yang jadi persoalan, bila.

Bila mana ayat cliche ini keluar dari mulut seseorang, kita mungkin akan rasa kehilangan. Selepas tamat pertemuan yang ini, kita akan berjumpa dengan orang lain dan kitaran ini akan terus berlaku lagi dan lagi. Jumpa yang lain. Jodoh yang lain pula. Yang mungkin kita pernah berselisih ketika sedang beratur hendak beli secawan Caramel Macchiato di Starbucks, ketika sedang tergesa-gesa berlari ke tandas selepas habis menonton filem di panggung, atau mungkin juga ketika keluar dari surau selepas menunaikan solat fardhu. Kita tidak tahu. Ianya satu kejutan dalam kehidupan.

Dan kita kena ingat yang jodoh itu ketentuan Tuhan. Itu urusan Dia yang akan diuruskan oleh-Nya dan kita hanya harus teruskan berjalan dan berselisih lagi dan lagi sehingga mungkin pada satu hari bahu kita berlaga dan itu titik permulaan sebuah pertemuan. Jangan terlalu ghairah dan teruja untuk mencari jodoh, kerana ia akan datang sendirinya dan kita akan rasa sendiri yang, "oh, ini mungkin jodoh aku.".

Tapi, mungkin juga dia hanyalah salah seorang mereka yang hanya berlaga bahu dan sekadar mengangkat tangan dan mengucap "maafkan saya." dan kemudian berlalu pergi, mungkin selepas kamu meluangkan masa untuk minum kopi sebentar untuk berbual. Tidak boleh mempersoalkan semua ini. Lagi pun, kita ini tiada hak untuk mempersoalkan jodoh dan takdir Tuhan.

Ya, hidup ini sangat misteri dan memang penuh persoalan yang akan buat kita berfikir dan terus berfikir. Sebagai makhluk lemah yang hanya sebagai hamba-Nya, persoalan jodoh dan takdir tidak perlu dibahas lagi. Ianya akan terjadi begitu sahaja, di mana ia telah ditetapkan dan dengan siapa kamu telah dijodohkan yang mana akhirnya akan membawa ke pertemuan yang hujungnya hanya kematian. Berpisah sementara sebelum bersama semula selamanya di dunia yang lagi satu.

Dan hari di mana kamu dipertemukan semula, mungkin juga ia hari di mana kamu akhirnya lupa yang kamu pernah merasa kehilangan yang panjang. Kehilangan siapa --- entah lah. 

9.26.2012

Hujan Semakin Reda.

Hujan turun dengan lebat hari ini. Dari pagi hingga ke petang. Tiba-tiba saya rindukan sesuatu.

Saya rindu pada diri saya sendiri. Diri saya yang dulu, bukan diri saya yang sekarang. Saya yang dulunya lebih tenang, lebih bersederhana dan tidak takut. Tenang dan berani. Saya yang dulu. Tidak pasti bahagian mana dalam diri saya yang sekarang ini yang saya rasa dah berubah. Masih mencari di mana puncanya. Namun, yang tahu kenapa saya rasa diri saya dah berubah cuma saya. Hanya saya yang tahu apa yang saya lalui, apa yang saya rasa, apa yang saya lihat, apa yang saya dengar, apa yang saya baca, dari dua anak mata  yang melihat ini, ia mengubah diri saya.

Dan, ada satu perkara yang tidak mungkin saya abaikan dan tidak fikirkan walau sesaat, yang mungkin akan kekal dalam diri saya, dan setiap irama yang tepat untuk menguatkan lagi memori itu. Sesuatu yang istimewa untuk saya kembali ingat kepada sesuatu yang susah untuk percaya, tapi ia telah pun berlaku.

9.20.2012

Hela Dan Hela Tanpa Menghirup Udara Itu

Lalu aku terfikir yang cinta itu apa sebenarnya?

Aku ingin sekali samakan cinta itu seperti udara yang memenuhi setiap ruang.

Mungkin sekali ia seperti udara. Udara atau lebih tepat oksigen itu sesuatu yang kita tidak nampak, tapi kita tahu ia ada di situ.Walau pun kita tidak nampak udara itu ada di mana, tapi sesungguhnya kita perlukan udara itu dan ia sentiasa ada untuk kita menikmatinya. Udara itu adalah anugerah Tuhan untuk kita yang hidup di muka bumi ini.Mahu atau tidak, kita tetap perlukan udara.

"Hirup....hela....hirup....hela...." itu bunyi ketika aku menikmati udara segar. Ianya sesuatu yang hebat dan penuh magis. Sepertinya cinta juga. Tidak semestinya cinta itu harus dipamerkan atau pun ditayang untuk tatapan semua orang yang "Ya, aku cintakan dia ini. Lihat lah semua." Bagi aku, ia tidak perlu. Cinta itu sendiri seperti udara, anugerah Tuhan untuk kita semua. Mahu atau tidak, cinta tetap untuk kita dan kita tetap perlukannya selagi kita bernyawa. Yang pernah memberi cinta atau pernah merasa cinta, bahagia.

Pagi ini aku menghirup udara segar dari kawasan bukit berhampiran rumah aku. Pagi ini aku naik ke puncak bukit itu untuk menikmati matahari terbit dan menghirup udara segar. Penuh cinta di dalam tubuh ku pagi ini. Magis. Namun aku tertanya, adakah udara ini akan kekal berada di sini untuk aku? Atau mungkin udara ini akan tinggalkan aku dan aku lemas kerana tiada udara?

Dan aku menghirup udara segar pagi ini - yang terkadang itu membuatkan aku teringat kepada kamu. Cinta itu masih segar. 

Bohong

Masuk hari ini, sudah 3 hari saya tidak tidur. Kamu pasti tidur dengan nyenyak sambil memeluk bantal-bantal yang penuh di atas katil kamu. Itu tidak termasuk patung-patung beruang yang kamu ada pemberian ahli keluarga sempena ulang tahun kelahiran kamu. Saya tidak dapat tidur. Bukannya saya tidak mahu tidur, cuma saya tidak dapat tidur. 

Lebih malang, selama saya berjaga ini tiada satu kerja yang bagus saya buat. Lebih kepada membuat masa dengan melukis permandangan yang sebenarnya indah tetapi selepas dipindah ke atas kertas lukisan, ia layak dipanggil sampah. Hey, saya tak tidur 3 hari okay? Cuba faham keadaan saya ini.

Ya, saya ingin rehatkan minda saya. Itu semua saya lakukan untuk tidak memikirkan perkara-perkara yang tidak sepatutnya saya fikir. Saya meletakkan kepala di atas bantal dan cuba melelapkan mata. Tanpa memikirkan apa-apa atau siapa-siapa terlebih dahulu. Saya cuba menenangkan fikiran saya dengan harapan mata boleh terpejam dan saya boleh bermimpi sekali lagi.

Okay, saya bohong.

Saya tidur nyenyak tiga hari ini dan saya mimpi awak datang dalam mimpi sebab saya rindu awak. Bye.

9.12.2012

The Notebook.

Aku sedang asyik menonton filem The Notebook petang itu. Sambil menikmati secawan kopi suam yang aku sediakan tengah hari tadi bersama semangkuk poprorn yang aku buat sendiri. Filem ini memang filem kegemaran aku walau pun aku masih tidak mampu hafal dialog di dalam filem itu.

Tiba-tiba, aku terlihat notification skype. Dia online. Aku terus menegurnya selepas hampir seminggu tiada khabar berita diterima.

"Hey." dia membalas dengan perkataan yang sama.
"Can we talk?" Ini adalah satu soalan yang jika ditanya oleh seseorang yang penting dalam hidup, pasti akan buat hati tidak tentu arah.


"Boleh." dia ambil masa sebelum mengajukan satu soalan pendek.
"Kita kawan boleh?" Dia tanya dengan suara yang sekejap ada sekejap hilang. Aku membetulkan pandangan aku kepadanya. Aku memanggilnya. "What's wrong, honey?" and she remains silent.

"Kita kawan ya? I can't do this anymore." aku hanya diam. Diam. Tunduk sambil mengesat air mata yang mula bertakung di mata.

"There is no point to argue. You keep cakap pasal ni over and over again. Ini kali ke-3 dan, kalau itu yang you nak....thanks for everything." Aku lihat air matanya mengalir dengan deras. Esakannya semakin kuat. Dia melihat aku buat kali terakhir, mendengar suara aku buat kali terakhir. Itu pun atas bantuan webcam dan mikrofon.

Aku tidak berfikir panjang dan terus menekan butang merah. Sedih bila difikirkan ia berakhir begini dan dia tidak ada keberanian untuk berkata direct kepada aku ketika duduk semeja dulu. Dan ya, it ends.

Aku minum kopi suam yang berada di atas meja. Aku kesat air mata dan sambung menonton The Notebook. Cerita ini memang sweet dan sedih. Filem ini memang filem kegemaran aku walau pun aku masih tidak mampu hafal dialog di dalam filem itu.