10.10.2012

Jodoh

Seperti yang sering diperkatakan oleh mereka semua, "Kalau ada jodoh, kita pasti jumpa lagi." Aku tidak tahu jodoh dengan siapa, tapi aku yakin pasti ada pertemuan yang akan berlaku jika jodoh itu masih ada. Cuma yang jadi persoalan, bila.

Bila mana ayat cliche ini keluar dari mulut seseorang, kita mungkin akan rasa kehilangan. Selepas tamat pertemuan yang ini, kita akan berjumpa dengan orang lain dan kitaran ini akan terus berlaku lagi dan lagi. Jumpa yang lain. Jodoh yang lain pula. Yang mungkin kita pernah berselisih ketika sedang beratur hendak beli secawan Caramel Macchiato di Starbucks, ketika sedang tergesa-gesa berlari ke tandas selepas habis menonton filem di panggung, atau mungkin juga ketika keluar dari surau selepas menunaikan solat fardhu. Kita tidak tahu. Ianya satu kejutan dalam kehidupan.

Dan kita kena ingat yang jodoh itu ketentuan Tuhan. Itu urusan Dia yang akan diuruskan oleh-Nya dan kita hanya harus teruskan berjalan dan berselisih lagi dan lagi sehingga mungkin pada satu hari bahu kita berlaga dan itu titik permulaan sebuah pertemuan. Jangan terlalu ghairah dan teruja untuk mencari jodoh, kerana ia akan datang sendirinya dan kita akan rasa sendiri yang, "oh, ini mungkin jodoh aku.".

Tapi, mungkin juga dia hanyalah salah seorang mereka yang hanya berlaga bahu dan sekadar mengangkat tangan dan mengucap "maafkan saya." dan kemudian berlalu pergi, mungkin selepas kamu meluangkan masa untuk minum kopi sebentar untuk berbual. Tidak boleh mempersoalkan semua ini. Lagi pun, kita ini tiada hak untuk mempersoalkan jodoh dan takdir Tuhan.

Ya, hidup ini sangat misteri dan memang penuh persoalan yang akan buat kita berfikir dan terus berfikir. Sebagai makhluk lemah yang hanya sebagai hamba-Nya, persoalan jodoh dan takdir tidak perlu dibahas lagi. Ianya akan terjadi begitu sahaja, di mana ia telah ditetapkan dan dengan siapa kamu telah dijodohkan yang mana akhirnya akan membawa ke pertemuan yang hujungnya hanya kematian. Berpisah sementara sebelum bersama semula selamanya di dunia yang lagi satu.

Dan hari di mana kamu dipertemukan semula, mungkin juga ia hari di mana kamu akhirnya lupa yang kamu pernah merasa kehilangan yang panjang. Kehilangan siapa --- entah lah. 

No comments: