6.16.2013

Hujan Lagi

Pagi ini aku bangun dari tidur dan membayangkan akan ada cinta yang hadir dalam bentuk satu susuk tubuh wanita yang mampu buat aku tersenyum sendirian lalu menutup muka dengan bantal kerana malu diperhatikan olehnya. Dan aku membayangkan susuk tubuh wanita itu, kamu. Aku cuba menyesuaikan diri dengan keadaan sekarang yang mana aku mula merasakan manisnya cinta dan aku percaya ini adalah fasa pertama dalam usaha untuk memiliki satu cinta yang mampu buatkan aku bahagia hanya dengan membenarkan hati aku mencintai kamu.

Kemudian hujan turun dengan lebat di luar. Ah, aku sangat menyukai hujan dan aku dalam diam sebenarnya menyukai bau yang terhasil apabila air hujan jatuh ke atas rumput dan timbunan batu. Ia mengingatkan aku kepada sesuatu yang menyakitkan aku dari dalam. Dan aku termenung seketika. Apabila aku tersedar dari lamunan, aku menoleh ke arah kanan aku, dan kamu hilang. Tiada lagi bayangan kamu, bau harum rambut kamu, tiada. Sepertinya kamu juga tidak pernah ada. Selepas itu aku tidak lagi menyukai hujan seperti dahulu. 

Ah, mungkin aku perlu sambung tidur semula.

No comments: