3.10.2013

Dan Rasa Rindu Itu Milik Kamu Hari Ini


Ya, nampaknya aku sudah mula rindukan kamu sejak kali terakhir aku hantar kamu ke pintu rumah kamu tempoh hari. Sejak hari itu, aku tidak lagi nampak kamu di bangku kayu yang sama itu, mahu pun kerusi rona biru di sudut hujung dewan kuliah ini. Tempat kegemaran kamu.

Kalau sudah begini rasa rindu yang datang berbisik ke hati aku dengan perlahan "ya, kau rindu dia. Jangan tipu hati kau", apa yang mampu aku lakukan adalah mengkhayalkanmu ada di sini bersama aku. Kamu bercerita tentang zaman kanak-kanak kamu sambil melihat teman-teman sekuliah bermain layang-layang buatan sendiri di padang berhampiran dewan kuliah. Ya. Mengkhayalkan setiap detail yang aku ingat tentang kamu yang masih kekal berada di dalam kotak minda aku. Lalu aku merasa kalau benar rasa rindu itu tidak ubah seperti kumpulan cerita-cerita lalu yang dikumpulkan kembali di masa kini dan ditayangkan di hadapan mata aku. 

Ya, nampaknya aku sudah mula rindukan kamu.

Aku sempat bertanya kamu semasa aku meneman kamu pulang dalam hujan tempoh hari, kenapa kita tidak pernah rindukan “masa depan.” Kau hanya ketawa kecil sambil mengikat rambutmu yang separas bahu itu dan disanggulkan di atas kepala kamu. Mungkin kamu tidak tahu yang aku suka gadis yang sanggulkan rambutnya di atas kepala. Ia nampak kemas dan mungkin juga seksi di mata aku. Lalu aku menjawab soalan ku sendiri kerana mungkin kamu malu untuk berbicara dengan aku. Aku tidak mahu kamu rasa kekok berjalan bersama aku, lalu aku teruskan perbualan. Mungkin rasa rindu itu tercipta untuk kamu, aku dan mereka mengingati kembali momen-momen indah atau mungkin sedih yang pernah mereka lalu satu ketika dahulu dan berharap ia mampu diulang sekali lagi hanya untuk merasai seronok atau mungkin sedih yang akhirnya meninggalkan kesan kepada diri mereka. Contohnya, momen aku berjalan bersama kamu tempoh hari.

Ya, nampaknya aku sudah mula rindukan kamu

Rasa rindu itu bagi aku hanyalah satu hal remeh, yang akan membuatkan kamu rasa bersyukur dalam-dalam di hati kamu kerana kamu sebenarnya memiliki seseorang. Seseorang yang menjadi pemilik rasa rindu kamu ketika itu. Lalu, apa hubungannya gerimis di pagi hari ini dengan rasa rindu ini kepada kamu? Jawabannya, bau-bauan hujan yang aku hidu tempoh hari sama seperti bau-bauan hujan pagi ini. Dan seperti yang aku beritahu tadi, momen yang paling indah antara aku dan kamu adalah hari aku memayungi kamu pulang ke rumah.

Mungkin hanya sekadar mengingati sepasang kasut Toms rona merah lusuh yang tersarung di kaki kamu, seluar jeans hitam yang berlipat sedikit di bahagian kakinya kerana terlalu panjang untuk kamu yang agak pendek tapi comel, kacamata kamu yang bingkainya berwarna hitam dan ada hiasan berkilat di tepinya, dan juga minyak wangimu. Wangi. Aku suka wangianmu, itu yang membuat aku sanggup meneman kamu
dan duduk  begitu dekat denganmu. Karena wangi tubuhmu yang menarik perhatian aku sejak kali pertama kamu melintasi aku tempoh hari ketika aku keluar dari perpustakaan dan aku nampak kamu mebawa novel tulisan Jeffrey Archer, salah seorang penulis kegemaran aku.

Ah, aku keliru apa kah rasa ini sebenarnya. Mungkin benar aku keliru. Tapi aku suka. Perasaan suka ini yang akhirnya membuat aku jujur kepada diri sendiri. Lalu menuliskannya di sini yang entah kamu akan baca atau tidak. Dan bukan hanya itu, yang buat aku rindu pada kamu adalah untuk duduk lama-lama lalu kita bercerita tentang hal-hal bodoh..lalu kita tertawa besar bersama-sama. Aku memikirkan, mungkin suatu saat kita bisa bersama dan menikmati kopi. 

Ya, aku suka kopi dan aku juga dapat tahu yang kamu sukakan coklat panas yang akan kamu minum bila hari hujan turun. Dan jika kopi dan coklat bersatu dalam satu cawan, tahukah kamu yang ia tidak mustahil malah ia punya namanya sendiri iaitu mocha? Ya. Aku harap satu hari nanti kita boleh jadi secawan mocha yang cukup manis dan pahitnya dan enak untuk dinikmati di hari hujan turun.

Oh, ini semua kerana rindu. Lalu kini, aku menyalahkan rasa rindu ini. Kerana rasa rindu ini datang menghampiri aku, akhirnya aku mampu mengingati setiap detail tentang kamu yang masih ada di dalam kotak minda aku. Mungkin satu hari nanti aku mampu mengajak kamu keluar untuk menikmati mocha bersama-sama. Mungkin soalannya akan berbunyi," Hey. Mahu kah kamu keluar bersama aku untuk minum secawan kopi atau mungkin coklat panas sambil berborak tentang buku, dunia, muzik, dan kita?"

No comments: