9.04.2012

Dan apa yang menakutkan awak, wahai si penakut?

Ketika itu hujan masih lagi turun membasahi bumi. Hujan rintik-rintik di kawasan tempat tinggalku menghadirkan rasa kedinginan yang sehinggakan aku rasakan ia menyucuk-nyucuk tulang-tulangku. Dengan hanya ditemani secawan kopi o pekat yang aku bancuh sendiri, aku duduk sendiri di tepi tingkap kamarku. Mungkin di tepi tingkap itu adalah tempat yang bisa membuatkan aku tenang, dan tidak terganggu oleh masalah-masalah yang aku sendiri tidak tahu dari mana datangnya.

Rintik-rintik hujan terpercik masuk ke dalam bilik ku melalui tingkap yang aku bukakan sedikit. Lagu Penakut nyanyia Yuna bergema di dalam bilik aku. Suara gemersik gadis yang menjadi penyanyi wanita kegemaran aku ini, menyampaikan lagu yang penuh emosi dan rasa yang ingin dikongsikan melalui lagunya.

"Tak semua kau rencana kan berlaku, mungkin nasib tak menyebelahi aku, Oh, ini tidak adil..tidak adil baginya, Oh ini tidak adil...tidak adil bagiku..."

Lagu ini membawa aku ke satu momen yang sudah jauh berlalu meninggalkan aku. Setiap detail penting datang satu per satu ke dalam kotak minda. Sesuatu yang mungkin tidak penting bagi orang lain, yang hanya dipandang sebagai perkara kecil. Tapi, bagi aku ia sesuatu yang penting dan amat besar bagi aku.

Bila mana segala yang dirancang, sempurna dan cantik susunannya tiba-tiba runtuh. Ianya sangat menyedihkan dan hampa adalah perasaan yang paling sesuai untuk mengambarkan apa yang aku rasa ketika itu. Ya, bukan semua yang kita rancang akan terjadi. Kita hanya mampu merancang. Sekurang-kurangnya aku sudah belajar merancang sesuatu. Malangnya, nasib tidak menyebelahi aku ketika itu, dan semuanya hilang.

Jauh di dalam hati aku ini, aku terfikir. Hidup ini adalah ibarat puzzle yang perlu diselesaikan. Tidak kiralah sendirian atau pun berteman.Kita haruslah bijak memikir cara untuk menyelesaikan setiap puzzle yang diberikan kepada kita, dan paling penting jangan putus asa. Biar pun kita rasa yang ia tidak adil untuk kita lalui puzzle yang sebegitu rupa. Cuma ya, kadang-kala itu aku tidaklah sebijak nama aku untuk menyelesaikan puzzle itu dan akhirnya aku selesaikan sendiri mengikut cara aku sendiri mengikut apa yang hati aku katakan.

Ya, hidup adalah puzzle yang perlu diselesaikan sendiri dan aku perlukan kopi aku untuk terus selesaikan permasalahan ini. Kerana aku, penggemar kopi tegar. 

No comments: