3.20.2013

Dan Aku Mula Mencipta Mimpi Dengan Kamu

Ianya seperti secawan mocha yang memerlukan sukatan kopi dan coklat yang secukupnya uintuk melahirkan rasa mocha yang enak. Seperti juga aku dan kamu. Kita. Saling memerlukan dan melengkapi antara satu sama lain, aku dan kamu untuk mencipta sesuatu yang dipanggil kita. Ia mungkin akan jadi terlalu pahit atau mungkin terlalu manis, tetapi sekurang-kurangnya kita masih satu. Mungkin itu lah kita sekarang. Aku dan kamu.

Ah, bukan. Ini bukan cinta. I'm not in love. We're not in love. Mungkin juga, momen yang sesuai itu belum tiba untuk kita berdua bertukar hati sesama kita dan berjanji untuk menjaga hati yang akan diambil seperti hati sendiri. Ia nya seperti satu rasa yang sukar untuk digambarkan. Apa yang aku mahu, hanya kamu sentiasa ada bersama aku. Hanya mendengar gelak tawa kamu, suara kamu memanggil nama aku, senyuman manis yang jarang sekali kamu lemparkan kepada dunia dan mungkin kerana itu aku rasa senyuman kamu itu ibarat salah satu nikmat dunia yang Tuhan tunjukkan kepada aku. Ia hadir dalam bentuk seorang bidadari syurga. Kamu.

Dan jika ini yang dinamakan cinta, maka aku sekarang sudah bersedia untuk jatuh cinta. Dan aku hanya bersedia untuk jatuh cinta kepada kamu sahaja. Tapi, aku sudah letih untuk jatuh berulang kali tanpa sesiapa yang sudi untuk menghulurkan tangan, mengangkat aku untuk bangun dan berdiri bersebelahan dengannya dan berborak tentang hati, mungkin. Lalu, aku mengambil masa yang lama untuk bercuti untuk jatuh cinta. Mungkin cuti sudah tamat, dan aku sudah sedia untuk menyintai sekali lagi.

Dan jika kamu tanya kenapa aku bercuti daripada bercinta, mungkin jawapannya kerana kali terakhir aku jatuh cinta, aku jatuh di dalam satu gaung yang dalam berbekalkan hati aku yang menyala dengan api cinta yang katanya bakal menjadi lebih marak selepas ini. Tapi, malangnya aku dibiarkan keseorangan di dalam gaung itu seorang diri sehingga api yang menyala dalam hati semakin malap dan akhirnya, padam.

Tapi, mungkin kamu ingin tahu bagaimana seorang lelaki yang berselindung di sebalik kacamata ini mampu mencintai seorang gadis yang cantik seperti kamu? Maaf, tetapi aku tiada jawapan untuk soalan itu. Bagi aku cinta ini ibarat secawan cappuccino. Enaknya diminum panas-panas, tapi risikonya ia akan cepat habis. Tapi kalau diminum perlahan-lahan, risikonya nanti cepat sejuk. Aku tidak kisah sejuk atau panas, yang aku mahu hanya di dalam tubuh aku, mengalirnya cappuccino itu jika ianya cinta milik kamu. Cinta memang sesuatu yang lucu.

Saat ini aku hanya ingin berjumpa kamu. Bertentang mata dengan kamu. Memandang tepat ke dalam mata kamu melalui kacamata yang akan berwap setiap kali aku memandang tepat ke mata kamu kerana kamu rasa gementar. Comel. Kerana rasa yang berada di dalam hati ini semakin lama semakin bertambah dan bercambah, dan sesungguhnya aku tidak mahu ianya dipanggil cinta. Aku khuatir aku terlalu terburu-buru dan kamu akan berasa kurang selesa. Walau pun, seperti kata ibu, "tiada yang terlalu cepat atau terlalu lambat dalam bercinta. Jika cinta itu ada, mengapa biarkan ia menjadi satu rahsia?"

Jadi, aku sudah bersiap sedia dengan sepasang tiket untuk ke konsert Backstreet Boys hujung minggu ini dan aku sudah siapkan sejambak mawar merah dan sekotak coklat kegemaran kamu. Ketika kita bertemu nanti dan mereka berlima di pentas mendendangkan lagu As Long As You Love Me, aku akan bertanya begini kepada kamu,

"Hey, saya ingin pergi mengayuh gondola di Venice, bermain gitar di kaki lima dan melihat matahari terbenam di sana. Kamu mahu ikut aku?"

2 comments:

Fazren. said...

Comel sangat pasaipa entah! Hakhak

broken_nigina said...

terbayang pada ex y z tulisan ni.tapi kecik sangat.memang bukan.