7.15.2013

Kerana Dia Tidak Pernah Kenal Erti Cinta

Dan aku terpandang
Seorang gadis kecil
Yang sedang duduk memeluk kakinya
Sambil mengesat air matanya yang mengalir deras
Dia yang menangis dalam doanya
Pinta agar hilangkan kesedihan dalam hidupnya
Dan hadirkan kegembiraan
Mungkin dalam bentuk cinta
Kerana sejak kecil dia tidak pernah diajar
Apa itu cinta?

Dan aku terdengar
Esakan perlahan,
--- Jangan bergaduh lagi
Bergema di setiap sudut bilik
Si lelaki dewasa sibuk menulis laporan kerja
Si wanita dewasa sibuk berdandan untuk keluar bersuka-ria
Dan gadis kecil masih kekal di sudut bilik
Memandang hiba lelaki dan wanita pertama dalam hidupnya

Pintu biliknya diketuk
Ada satu susuk putih bercahaya
Punya kepak yang lebar
Dia menghulurkan tangan ke arah gadis kecil
Berbisik lembut ke telinganya
--- Tuhan sudah mendengar doa-doamu. Mari aku teman kamu pergi jalan-jalan

Dan dengan itu
Gadis kecil tidak lagi bersedih
Senyuman manis terukir di wajahnya
Yang mana dihujung senyumannya
Tercipta satu lesung pipi yang dalam
Hasil ciuman susuk putih itu
Yang dipanggil
--- Cinta.

1 comment: