10.01.2012

Secawan Latte Untuk Sarah #3

Aku memandang jam dinding itu dari tadi, jam dinding berbentuk segi empat dan berwarna merah yang disangkutkan di dinding berhadapan dengannya. Aku bertanya sendirian yang sungguh cepat masa berlalu tanpa pernah menunggu kita. Semakin dikejar masa itu, semakin laju dia bergerak. Semakin dibiarkan masa itu, semakin laju dia bergerak. 

Ya, masa tidak pernah menunggu kita walau kita mengejarnya atau membiarkan dia mengejar kita. Ia tetap akan bergerak, dan tanpa aku sedar sudah dua tahun. Dua tahun aku tidak berjumpa atau dengar khabar berita daripada Sarah.

Aku terus menjeling ke arah jam dinding itu sekali lagi. Melihat jarum jam yang semakin menghampiri angka 2 yang semua orang yang melihat jam itu akan tahu di mana letaknya, walau pun rekaan jam dinding itu hanya ada angka 12, 3, 6 dan 9 sahaja. Hari yang aneh dan dingin ini berlanjutan. Lisa melihat aku dari dapur. Dia dapat merasakan yang aku masih memikirkan tentang Sarah. "BONG! BONG!" jam dinding itu menjerit. Sudah pun masuk jam 2 petang. 

Aku teringat kali pertama aku dah Sarah berjumpa. Ketika itu aku baru mengajak ke usia 17 tahun dan Sarah baru berusia 15 tahun. Ada jarak 2 tahun antara umur aku dan dia. Peristiwa itu masih segar dalam fikiran aku walau pun telah lama ia berlalu. Pertemuan secara tidak sengaja itu telah menemukan aku dan Sarah yang akhirnya menghadirkan perasaan lebih daripada kawan antara aku dan dia. Aku melihat ke arah luar kedai. Langit yang sebentar tadi cerah telah berubah menjadi mendung. Tiba-tiba, hujan turun dengan lebatnya. Aku meminta Lisa buka pintu kedai. Aku ingin menghidu bau hujan turun. Selain bau kopi yang panas, aku juga suka bau hujan.

Dan, di waktu hujan turun aku berjumpa dengan Sarah.

No comments: