Showing posts with label Latte. Show all posts
Showing posts with label Latte. Show all posts

10.01.2012

Secawan Latte Untuk Sarah #4

2002, Aku (17 tahun).


Nak tak nak aku paksa juga ayah membawa aku ke kedai gunting di pekan depan sana. Aku dah rasa tak senang duduk dah sekarang ni. Semenjak aku sampai ke rumah dari asrama tadi, opah dah menjeling tajam ke arah aku. Kalau dibiarkan lebih lama dia menjeling, boleh terkoyak kulit di badan aku dek tajamnya padangan dia. Aku tahu dia tidak gemar dengan rambut panjang aku ini. Hampir setahun aku biarkan panjang tak berpotong walau pun dah ditegur berulang kali dengan En Zaidi, guru disiplin di sekolah.

Biasalah budak lelaki zaman sekarang. Rambut mesti nak kena jaga. Lagi panjang rambutnya, lagi tinggi market di sekolah. Siapa tak kenal Azman, pemain ragbi sekolah. Tambahan lagi, ketika itu aku cukup gemar dengan rambut Daniels John, vokalis utama kumpulan Silverchair. Cuma bezanya rambut aku dan rambut dia, rambut aku berwarna hitam dan dia berwarna keemasan.

Aku tahu, jauh di sudut hatinya dia rindukan aku. Hampir 6 bulan aku tak balik rumah. Tahun ini aku akan menduduki peperiksaan SPM. Penentu masa depan aku bak kata ibu dan bapa aku. Bagi aku, keputusan SPM yang baik bukan penentu masa depan aku. Ia cuma memudahkan perjalanan hidup aku nanti. Tapi, aku sudah merancang yang aku ingin membuka sebuah kedai kopi yang besar ala Starbucks. Ya lah, aku ni kan peminum kopi tegar.

"Malam-malam macam ni mana ada kedai gunting buka, Man. Esok je lah kita pergi." ayah menolak paksaan aku untuk pergi ke pekan malam ni. Ah, kalau tak pergi malam ni, mahu mengamuk opah kat dapur tu. Kalau tak dibaling periuk belanga tu, dihambatnya aku dengan penyapu lidi. Walau pun dia sudah hampir mencecah usia 50 tahun, tapi tenaga dia seperti anak dara lagi. Kuat bekerja siang dan malam. Banyak kali dah aku nasihat kepada dia supaya berehat je. Tapi, biasalah. Orang tua memang degil. Akhirnya turun ke aku kedegilannya tu.

"Esok pun esok lah, ayah. Mana kunci motor? Man nak pergi jumpa abang Lan kat simpang sana. Lama rasanya tak jumpa dia. Katanya ada buka gerai burger." Aku mengalah dengan ayah. 

"Tu ha...ada ayah sangkut belakang pintu depan tu. Kau ni Man...kan hujan ni..? Duduk rumah tak boleh ke?" Ayah melarang aku keluar. Hujan di luar rumah tu boleh tahan lebatnya juga.

"Ala...orang balik sekali sekala ni...takat hujan ni tak jadi apa lah. Man ni keturunan Hang Tuah lah, ayah. Tak gentar dengan apa yang datang!" aku menepuk dada sambil mencebik bibir ke arah ayah.

"Hang Tuah kepala otak kau! Kau tu orang Jawa. Dah...kau nak keluar, pergi lah. Hati-hati. Jangan balik lambat sangat. Kalau tak, kau tidur je reban ayam dengan Jantan dengan Jalak tu." ayah ketawa dan terus masuk ke dalam biliknya.

Aku terus pergi ke gerai abang Lan dengan motor peninggalan arwah atuk. Bunyi motor tua atuk memecah kesunyian malam itu. Hujan yang lebat sudah menjadi renyai. Aku terus memandu tanpa helmet. Azman dah balik! Tapi, tak lama lah. Kiranya aku ni sekadar melawat kawasan je lah. Cuti hanya 3 hari. Sabtu hingga Isnin.

Di pekan aku dapat lihat ada lagi 3-4 kedai yang masih buka menerima pelanggan. Walau pun hampir memasuki jam 9 malam, kedai-kedai di sini masih beroperasi. Kalau nak diikutkan di kawasan asrama aku, jam 8 memang susah lah nak nampak orang lalu-lalang. Kawasan pedalaman, biasalah. 

Semasa dalam perjalanan, aku terlihat seorang gadis kecil sedang membeli barang di kedai auntie Chu. Dalam gelap tu, aku masih dapat lihat matanya yang bulat, pipinya yang gebu, lesung pipit di pipi kirinya, senyumannya yang manis dan rambutnya yang disanggulkan di atas kepala. Siapa dia ni? Aku tak pernah tengok pun. Baru pindah ke?

Aku  teruskan perjalanan ke gerai abang Lan. Wajah gadis tadi berputar-putar di dalam kepala aku. Siapa dia tu? Perkara pertama yang aku kena buat sekarang adalah tanya abang Lan, siapa gadis tadi. Dengan bekalan beberapa keping not RM1, perkara kedua yang aku nak buat adalah makan. Lapar sungguh perut ni. Tak sempat aku nak makan di rumah tadi. Opah baru hendak masak. Dia sampai serentak dengan aku tadi. Baru balik dari sawah katanya. 

Aku sampai ke gerai abang Lan. Dia sedang sibuk melayan pelanggannya. Boleh tahan ramai juga pelanggannya malam ni walau pun hujan turun renyai-renyai. Bagus lah. Tidak lah dia duduk melepak saja, sekurang-kurangnya dia ada pendapatan dia sendiri. Dia nampak aku datang ke gerainya. Dia senyum kepada aku dan suruh aku duduk dulu. Abang Lan memberi burger terakhir kepada pelanggannya. Aku tanpa membuang masa terus mengajukan soalan yang bermain di fikiran aku tadi kepadanya.

"Bang Lan, siapa makwe comel yang matanya bulat, pipinya gebu, ada lesung pipit di pipi kirinya, senyumannya manis dan rambutnya disanggulkan di atas kepala tu?"

Secawan Latte Untuk Sarah #3

Aku memandang jam dinding itu dari tadi, jam dinding berbentuk segi empat dan berwarna merah yang disangkutkan di dinding berhadapan dengannya. Aku bertanya sendirian yang sungguh cepat masa berlalu tanpa pernah menunggu kita. Semakin dikejar masa itu, semakin laju dia bergerak. Semakin dibiarkan masa itu, semakin laju dia bergerak. 

Ya, masa tidak pernah menunggu kita walau kita mengejarnya atau membiarkan dia mengejar kita. Ia tetap akan bergerak, dan tanpa aku sedar sudah dua tahun. Dua tahun aku tidak berjumpa atau dengar khabar berita daripada Sarah.

Aku terus menjeling ke arah jam dinding itu sekali lagi. Melihat jarum jam yang semakin menghampiri angka 2 yang semua orang yang melihat jam itu akan tahu di mana letaknya, walau pun rekaan jam dinding itu hanya ada angka 12, 3, 6 dan 9 sahaja. Hari yang aneh dan dingin ini berlanjutan. Lisa melihat aku dari dapur. Dia dapat merasakan yang aku masih memikirkan tentang Sarah. "BONG! BONG!" jam dinding itu menjerit. Sudah pun masuk jam 2 petang. 

Aku teringat kali pertama aku dah Sarah berjumpa. Ketika itu aku baru mengajak ke usia 17 tahun dan Sarah baru berusia 15 tahun. Ada jarak 2 tahun antara umur aku dan dia. Peristiwa itu masih segar dalam fikiran aku walau pun telah lama ia berlalu. Pertemuan secara tidak sengaja itu telah menemukan aku dan Sarah yang akhirnya menghadirkan perasaan lebih daripada kawan antara aku dan dia. Aku melihat ke arah luar kedai. Langit yang sebentar tadi cerah telah berubah menjadi mendung. Tiba-tiba, hujan turun dengan lebatnya. Aku meminta Lisa buka pintu kedai. Aku ingin menghidu bau hujan turun. Selain bau kopi yang panas, aku juga suka bau hujan.

Dan, di waktu hujan turun aku berjumpa dengan Sarah.

9.23.2012

Secawan Latte Untuk Sarah #2

“Kenapa, Man?” Lisa bertanya. Aku sekadar mendongak. Wajah manis Lisa itu aku lihat penuh dengan tanda tanya.
“Tak. Tak ada apa-apa. Saya okay saja.”
“Betul ni? Kamu sakit ke?”
“ Tak. Saya ada apa-apa .” Tanpa berfikir panjang, aku menutup pintu ke alam maya dan terus meninggalkan dunia itu. Wallpaper bergambarkan aku dan Sarah yang sedang bermain piano yang diambil beberapa tahun yang lalu, seolah mengejek. Dengan perasaan marah aku mematikan laptop. Nanti saja aku gantikan wallpaperku. Laptop zaman sekarang sudah ada teknologi untuk mengejek pengguna agaknya.
Aku kembali menyandar sambil melihat pelanggan-pelangganku yang semakin bertambah. Jam sudah menghampiri jam 1. Lunch break. Kuraih mug, memegangnya dengan kedua belah tanganku. Menghirup aroma harum kopi olahan tersebut. Aroma kopi adalah antara aroma yang paling indah di dalam dunia selepas bau hujan turun. Aku dan Lisa berpandangan. Sunyi.
“Tiba-tiba saya rasa bodoh.” aku tertawa geli hati.
“Eh, kenapa awak cakap macam tu?” Lisa mengerutkan dahinya.
“Saya, menghilankan diri sejauh-jauhnya dari tempat lama dan ke sini, cuma ingin lari dari sesuatu yang…” aku menghentikan tuturku, menahan tawa, mentertawakan kebodohanku,”…. Sesuatu yang tidak mengejar aku…”
Lisa mengerutkan kening. Dia benar-benar tidak mengerti dengan tutur kata aku.
“Bingung ya, kamu?” tanyaku sambil tersenyum-senyum.
“Saya tak faham lah, Man.....” Lisa mengangguk sungguh-sungguh,”..ceritakan semuanya lah. Kalau awak tak kisah dan tak keberatan. Lagi pun orang bukan ada sangat ni..” Lisa ketawa kecil dan menarik kerusi menghampiriku.
“Begini, saya, lari hingga ke sini, larikan diri dari seseorang yang saya saya..... Yang saya cinta..” aku terdiam. Lisa menunggu aku menyambung cerita. Aku hirup lagi kopi di dalam mug.

"What? Seseorang yang aku cinta....?" bisik aku di dalam hati. Aku sendiri tertanya-tanya kenapa aku jawab begitu. Benarkah apa yang aku rasakan ini cinta?

"Kenapa awak lari dari dia? Dia tu yang buat awak menung lihat skrin tadi ke?" Lisa bersungguh-sungguh menanya.
"Sarah. Nama dia Sarah. Dia pernah ada dalam hidup saya. Cinta saya. Tapi, lepas tu dia pergi tanpa pesan atau ucapan untuk saya." Aku hirup lagi kopi yang hampir sejuk itu.
"Lalu, kenapa awak kata awak lari daripada dia?" Lisa sudah mulai bingung.
"Saya tidak pasti adakah saya lari daripada dia, atau sedang lari kepada dia." sekarang aku benar-benar rasa kelakar bila mengingat semula alasan awal perjalananku ke tempat ini.

Lisa hanya tersenyum simpul. Dia terdengar bunyi loceng dari pintu masuk kedai.

"Nanti kita sambung ya, Man. Ada pelanggan tu." Lisa menolak kerusi ke tempat asalnya semula.
"Baiklah." Aku lemparkan senyuman kepada Lisa. Lisa asyik melayan pelanggan. Kasihan juga aku lihat dia seorang diri melayan pelanggan yang datang hari ini. Sasha cuti hari ini. Katanya kucingnya nak beranak. Aku ya kan saja alasannya itu. Lagi pun Sasha tu rajin orangnya dan jarang minta cuti.

Aku teringat semula isi kandungan e-mel yang dihantar oleh Sarah tadi. Katanya dia dapat e-mel aku daripada Aina. Jujur aku katakan, memang aku juga hendak berjumpa dengan Sarah semula. Tapi, separuh daripada aku kata tak perlu. Ia hanya menambah sakit yang sedia ada. Separuh lagi mengatakan yang mungkin jika aku berjumpa dengan Sarah semula, ia mampu menjadi ubat dan sembuhkan luka 2 tahun lalu.

Sarah. Oh tentunya. Aku dengan jelas dapat ‘merasakan’ dirinya dalam bayanganku, betapa bahagianya aku jika benar-benar bertemu dengannya, menghidu bau minyak wangi kegemarannya, berbual-bual tentang persekitaran dengannya, bernyanyi bersamanya ketika duduk di tepi tasik setiap petang (Apa kah ini maknanya aku rindukan dia jika aku mampu ingat setiap perkara yang pernah kami lakukan bersama dulu?), menangis bersama-sama ketika menonton The Notebook (ia memang sebuah filem yang bagus dan antara filem kegemaranku), berjalan di dalam hujan ketika balik dari tasik, masuk ke dalam kedai muzik dan mencuba semua alat muzik yang ada di sana, berkejaran di dalam IKEA sambil membayangkan yang itu adalah rumah kami. Di antara semua itu, aku tidak akan tertinggal untuk mencium dahinya setiap kali aku menghantarnya sebelum dia masuk ke dalam rumah. Semua tergambar dengan jelas, seperti nyata dalam benakku.
Tunggu sebentar.
Adakah aku sudah letih berlari daripada Sarah? Atau aku hanya ingin mengulang kebahagiaan yang pernah terjadi dan hidup bersamanya semula?
Oops.
Aku terdiam, melihat Lisa yang sedang menyediakan kopi untuk pelanggan.


Secawan Latte Untuk Sarah #1

“Azman, ini kopi kamu…” suara lembut Lisa membuatku mendongak. Perempuan manis ini meletakkan secawan caramel macchiato di sisi laptopku. Pelayan di Café Et Livres, kedai kopi milik aku. Aku tidak ada ramai pelanggan hari ini. 
Dari kaunter tempat aku duduk ini yang aku nampak hanya tiga hingga empat orang pelanggan sahaja. Masing-masing duduk di ruangan yang berbeza. Dua orang di kawasan luar dan lagi seorang duduk berhampiran dengan rak buku. 
Di sudut itu, aku terlihat seorang gadis muda, berwajah seperti Amy Adams, sedang asyik membaca dan tenggelam jauh dalam buku yang di bacanya. Gadis berbangsa Cina yang mengenakan bun hairstyle. Dapat aku lihat anak mata dia yang berwarna hijau itu. Cantik. Sayang sungguh dia keseorangan di sana. Mungkin sedang menunggu kawan kerana ada dua cawan kopi di atas meja.
Di luar sana, sepasang suami isteri separuh abad, sedang berbual dengan mesra sambil ditemani dua cawan kopi, Mocha untuk si suami dan Latte untuk si isteri. Mungkin sedang bersembang tentang anak-anak mereka yang sudah besar dan berkerja di bandar dengan jawatan yang besar-besar. 
“Terima kasih, Lisa.” Aku tersenyum.
Lisa terus ke dapur dan mengemas apa yang patut di sana. Aku hanya diam, sambil memerhati pelanggan-pelangganku menikmati kopi mereka di pagi ini. Aku suka melihat mereka yang berkongsi nikmat minum kopi dengan aku. Itu alasan pertama aku buka Café ini. 
Aku menarik mug yang berisi kopi dan menyandarkan belakangku ke kerusi, lalu menghirup kopi yang dibancuh oleh Lisa. Setiap hirupan yang mengalir ke dalam rongga badan aku, dapat aku rasakan renjatan elektrik. Nikmat yang sangat hebat. 
Aku membuka laptopku dan terus mengarahkan mouse aku ke arah ikon Google Chrome. "Mari berjalan-jalan di alam maya..." bisik aku di dalam hati. Aku buka emel aku. Ada 1 emel baru. Daripada dia. Sarah, gadis yang berjaya menambat hati aku. Hampir 2 tahun tiada khabar berita daripada dia.

Azman,
Awak memang lelaki paling ego pernah saya kenal dan tahniah sebab awak pilih untuk jadi macam tu. Suka  buat keputusan tanpa berfikir. Otak awak tu, awak letak kat mana hah? Saya teringin nak tahu yang awak menyesal atau tidak lepas awak buat sesuatu keputusan tu. hahaha.
Awak kat mana sekarang ni? Australia? Jordan? Atau awak masih di Malaysia? Awak tahu tak saya nak sangat jumpa awak lepas kali terakhir saya cium pipi awak semasa kita jumpa di lapangan terbang 2 tahun lalu?
Saya cuba hubungi awak, tapi tak dapat. Saya minta tolong dengan kawan-kawan untuk cuba hubungi awak, tapi mereka pun gagal. Kata mereka, awak dah pindah dari rumah lama awak. Saya dapat e-mel awak ni pun dari Aina. Kawan baik awak tu lah.
Saya harap kita dapat jumpa. Saya harap sangat. Please take good care of yourself, young man. Be good.
Always yours,
Sarah.

Waktu terasa seakan berhenti bergerak dan aku berasa dingin apabila aku selesai membaca e-mail ini. Sarah. Aku sudah pergi, sejauh ini, untuk melupakannya – dan dia masih ada di sana, menunggu aku. Ini sungguh gila. Bukan aku hendak lari dan meninggalkan dia, tapi aku dan dia tidak mungkin bersama. Mungkin tidak untuk kehidupan kali ini.
Selama beberapa saat, aku termenung menatap skrin laptopku, mengulang baca e-mel itu hingga aku tidak sedar yang Lisa sudah duduk di hadapanku. Dia melihat aku dengan bingung. Dia memegang mug yang berisi kopi yang dibancuhnya sebentar tadi dan menghirup kopi itu perlahan.
"Kenapa, man? Jauh awak menung..." tanyanya.
"Cinta." Jawab aku ringkas. Tanpa aku sedar, bibir aku mengukirkan sekuntum senyuman. Lisa melihat aku dan tersenyum bersama aku, walau pun aku tahu yang jawapan ringkas aku sebentar tadi tidak menjawab soalan dia.