10.01.2012

Secawan Latte Untuk Sarah #4

2002, Aku (17 tahun).


Nak tak nak aku paksa juga ayah membawa aku ke kedai gunting di pekan depan sana. Aku dah rasa tak senang duduk dah sekarang ni. Semenjak aku sampai ke rumah dari asrama tadi, opah dah menjeling tajam ke arah aku. Kalau dibiarkan lebih lama dia menjeling, boleh terkoyak kulit di badan aku dek tajamnya padangan dia. Aku tahu dia tidak gemar dengan rambut panjang aku ini. Hampir setahun aku biarkan panjang tak berpotong walau pun dah ditegur berulang kali dengan En Zaidi, guru disiplin di sekolah.

Biasalah budak lelaki zaman sekarang. Rambut mesti nak kena jaga. Lagi panjang rambutnya, lagi tinggi market di sekolah. Siapa tak kenal Azman, pemain ragbi sekolah. Tambahan lagi, ketika itu aku cukup gemar dengan rambut Daniels John, vokalis utama kumpulan Silverchair. Cuma bezanya rambut aku dan rambut dia, rambut aku berwarna hitam dan dia berwarna keemasan.

Aku tahu, jauh di sudut hatinya dia rindukan aku. Hampir 6 bulan aku tak balik rumah. Tahun ini aku akan menduduki peperiksaan SPM. Penentu masa depan aku bak kata ibu dan bapa aku. Bagi aku, keputusan SPM yang baik bukan penentu masa depan aku. Ia cuma memudahkan perjalanan hidup aku nanti. Tapi, aku sudah merancang yang aku ingin membuka sebuah kedai kopi yang besar ala Starbucks. Ya lah, aku ni kan peminum kopi tegar.

"Malam-malam macam ni mana ada kedai gunting buka, Man. Esok je lah kita pergi." ayah menolak paksaan aku untuk pergi ke pekan malam ni. Ah, kalau tak pergi malam ni, mahu mengamuk opah kat dapur tu. Kalau tak dibaling periuk belanga tu, dihambatnya aku dengan penyapu lidi. Walau pun dia sudah hampir mencecah usia 50 tahun, tapi tenaga dia seperti anak dara lagi. Kuat bekerja siang dan malam. Banyak kali dah aku nasihat kepada dia supaya berehat je. Tapi, biasalah. Orang tua memang degil. Akhirnya turun ke aku kedegilannya tu.

"Esok pun esok lah, ayah. Mana kunci motor? Man nak pergi jumpa abang Lan kat simpang sana. Lama rasanya tak jumpa dia. Katanya ada buka gerai burger." Aku mengalah dengan ayah. 

"Tu ha...ada ayah sangkut belakang pintu depan tu. Kau ni Man...kan hujan ni..? Duduk rumah tak boleh ke?" Ayah melarang aku keluar. Hujan di luar rumah tu boleh tahan lebatnya juga.

"Ala...orang balik sekali sekala ni...takat hujan ni tak jadi apa lah. Man ni keturunan Hang Tuah lah, ayah. Tak gentar dengan apa yang datang!" aku menepuk dada sambil mencebik bibir ke arah ayah.

"Hang Tuah kepala otak kau! Kau tu orang Jawa. Dah...kau nak keluar, pergi lah. Hati-hati. Jangan balik lambat sangat. Kalau tak, kau tidur je reban ayam dengan Jantan dengan Jalak tu." ayah ketawa dan terus masuk ke dalam biliknya.

Aku terus pergi ke gerai abang Lan dengan motor peninggalan arwah atuk. Bunyi motor tua atuk memecah kesunyian malam itu. Hujan yang lebat sudah menjadi renyai. Aku terus memandu tanpa helmet. Azman dah balik! Tapi, tak lama lah. Kiranya aku ni sekadar melawat kawasan je lah. Cuti hanya 3 hari. Sabtu hingga Isnin.

Di pekan aku dapat lihat ada lagi 3-4 kedai yang masih buka menerima pelanggan. Walau pun hampir memasuki jam 9 malam, kedai-kedai di sini masih beroperasi. Kalau nak diikutkan di kawasan asrama aku, jam 8 memang susah lah nak nampak orang lalu-lalang. Kawasan pedalaman, biasalah. 

Semasa dalam perjalanan, aku terlihat seorang gadis kecil sedang membeli barang di kedai auntie Chu. Dalam gelap tu, aku masih dapat lihat matanya yang bulat, pipinya yang gebu, lesung pipit di pipi kirinya, senyumannya yang manis dan rambutnya yang disanggulkan di atas kepala. Siapa dia ni? Aku tak pernah tengok pun. Baru pindah ke?

Aku  teruskan perjalanan ke gerai abang Lan. Wajah gadis tadi berputar-putar di dalam kepala aku. Siapa dia tu? Perkara pertama yang aku kena buat sekarang adalah tanya abang Lan, siapa gadis tadi. Dengan bekalan beberapa keping not RM1, perkara kedua yang aku nak buat adalah makan. Lapar sungguh perut ni. Tak sempat aku nak makan di rumah tadi. Opah baru hendak masak. Dia sampai serentak dengan aku tadi. Baru balik dari sawah katanya. 

Aku sampai ke gerai abang Lan. Dia sedang sibuk melayan pelanggannya. Boleh tahan ramai juga pelanggannya malam ni walau pun hujan turun renyai-renyai. Bagus lah. Tidak lah dia duduk melepak saja, sekurang-kurangnya dia ada pendapatan dia sendiri. Dia nampak aku datang ke gerainya. Dia senyum kepada aku dan suruh aku duduk dulu. Abang Lan memberi burger terakhir kepada pelanggannya. Aku tanpa membuang masa terus mengajukan soalan yang bermain di fikiran aku tadi kepadanya.

"Bang Lan, siapa makwe comel yang matanya bulat, pipinya gebu, ada lesung pipit di pipi kirinya, senyumannya manis dan rambutnya disanggulkan di atas kepala tu?"

2 comments:

BitsAndPieces said...

Seriously, potong gila. -.- Chapter 5!! FASTER! :D

Ariff Masrom said...

hahaha. Sabar...sabar... :D