9.05.2011

Kuat

"Eh, awal ayah balik hari ni? Kerja dah habis?"

"Kerja ayah dah siap. Dah, pergi ambilkan air untuk ayah. Ayah dahaga ni..."

"Baik ayah"

Patuh. Aku bingkas bangun dan pergi ke dapur untuk mengambil secawan air untuk menghilangkan dahaga ayah yang telah mengerah keringatnya hanya untuk memberi kami sekeluarga makanan yang cukup dan memenuhi kehendak anak-anak nya yang mahu itu dan ini. Ayah teguk air teh suam yang aku bancuh seawal 4 petang sebentar tadi. Aku kembali duduk di sofa.

"Ayah, kenapa ayah tak pernah cerita tentang zaman kecil ayah. Abang nak tahu juga macam mana kehidupan ayah masa kecil-kecil dulu. Cerita lah kat abang. boleh ya, ayah? "

Tanya aku bersungguh-sungguh meminta ayah ceritakan zaman kecilnya pada aku. Betul juga. Ayah tidak pernah ceritakan tentang waktu kecilnya, bagaimana dia boleh menjadi seorang insan yang tabah dan kuat semangatnya seperti sekarang. Aku menanti dan memberi sepenuh perhatian aku kepada apa yang akan ayah ucapkan.

"Abang, mari sini. Ayah ni orang susah. Atuk abang tu orang susah. Semua orang kampung pandang hina pada keluarga ayah sebab keluarga ayah ni keluarga miskin. Tapi, walaupun atuk miskin harta, dia orang paling kaya dengan ilmu. Nak di bandingkan dengan orang kampung, satu kampung belum tentu dapat tandingi dia."

Ayah menjawab dengan penuh tenang sambil menghirup teh suam. Ayah melihat aku dengan matanya yang sepet itu.

"Abang...dengar nasihat ayah ni ya. Ingat lah, biar lah kita miskin dengan harta kat dunia ini tapi jangan kita miskin dengan ilmu, budi bahasa dan iman. Kekayaan tak boleh menjanjikan syurga buat kita. Bila kita ada ilmu, kita sebarkan pada orang lain, InsyaAllah kita dapat pahalanya. Pahala itu yang kita kejar. Abang ingat ni... eh, ni abang dah solat Asar belum ni?"

"Err...Belum lagi ayah.... "

"Haa... Tunggu apa lagi.. Dah, pergi sediakan sejadah. Lepas ayah mandi nanti kita solat jemaah."

Aku tunduk tak terus ke bilik solat dan sediakan sejadah untuk kami solat berjemaah. Hari ini aku belajar perkara baru lagi daripada ayah. Kekayaan itu tiada nilainya di sisi Allah. Ibadah kita yang akan di hitung olehnya. Aku bersyukur menjadi anak ayah dan aku harap aku boleh jadi seperti dan mengajar anak ku seperti ayah mengajar aku untuk menjadi insan yang tabah dan kuat sepertinya.

No comments: