Ketika hujan turun
Aku membayangkan kamu ada di sebelah
Sambil menutup kepalamu dengan selendang putih
Bersama-sama aku melihat hujan turun
Berdua
Titis-titis air yang turun
Boleh aku ibaratkan sebagai air mata sang awan
Sama ada dia sedang bersedih atau gembira
Ia masih menjadi satu persoalan
Yang sentiasa bermain di fikiran kita berdua
Aku juga membayangkan
Ada seseorang di balik awan
Dan titis-titis hujan ini
Air matanya yang mengalir tanpa henti
Turun ke bumi, laju
Pernah kau ucapkan pada aku
"kenapa tidak kita sahaja yang naik ke awan
Dan kesat air matanya agar hujan tidak lagi selebat ini?"
Dan aku hanya tersenyum melihat kamu
Aku membalas dengan perlahan
"Boleh saja jika kamu inginkan itu. Satu hari nanti akan aku ciptakan sebuah kapal terbang kalis air untuk kita naik ke atas sana dan kesat air mata dia yang berada di balik awan."
Dan kamu tersenyum manis
Girang mendengar jawapanku
Dan ya,
Ketika hujan turun
Aku membayangkan kamu ada di sebelah
Sambil menutup kepalamu dengan selendang putih.
No comments:
Post a Comment