9.23.2012

Secawan Latte Untuk Sarah #1

“Azman, ini kopi kamu…” suara lembut Lisa membuatku mendongak. Perempuan manis ini meletakkan secawan caramel macchiato di sisi laptopku. Pelayan di Café Et Livres, kedai kopi milik aku. Aku tidak ada ramai pelanggan hari ini. 
Dari kaunter tempat aku duduk ini yang aku nampak hanya tiga hingga empat orang pelanggan sahaja. Masing-masing duduk di ruangan yang berbeza. Dua orang di kawasan luar dan lagi seorang duduk berhampiran dengan rak buku. 
Di sudut itu, aku terlihat seorang gadis muda, berwajah seperti Amy Adams, sedang asyik membaca dan tenggelam jauh dalam buku yang di bacanya. Gadis berbangsa Cina yang mengenakan bun hairstyle. Dapat aku lihat anak mata dia yang berwarna hijau itu. Cantik. Sayang sungguh dia keseorangan di sana. Mungkin sedang menunggu kawan kerana ada dua cawan kopi di atas meja.
Di luar sana, sepasang suami isteri separuh abad, sedang berbual dengan mesra sambil ditemani dua cawan kopi, Mocha untuk si suami dan Latte untuk si isteri. Mungkin sedang bersembang tentang anak-anak mereka yang sudah besar dan berkerja di bandar dengan jawatan yang besar-besar. 
“Terima kasih, Lisa.” Aku tersenyum.
Lisa terus ke dapur dan mengemas apa yang patut di sana. Aku hanya diam, sambil memerhati pelanggan-pelangganku menikmati kopi mereka di pagi ini. Aku suka melihat mereka yang berkongsi nikmat minum kopi dengan aku. Itu alasan pertama aku buka Café ini. 
Aku menarik mug yang berisi kopi dan menyandarkan belakangku ke kerusi, lalu menghirup kopi yang dibancuh oleh Lisa. Setiap hirupan yang mengalir ke dalam rongga badan aku, dapat aku rasakan renjatan elektrik. Nikmat yang sangat hebat. 
Aku membuka laptopku dan terus mengarahkan mouse aku ke arah ikon Google Chrome. "Mari berjalan-jalan di alam maya..." bisik aku di dalam hati. Aku buka emel aku. Ada 1 emel baru. Daripada dia. Sarah, gadis yang berjaya menambat hati aku. Hampir 2 tahun tiada khabar berita daripada dia.

Azman,
Awak memang lelaki paling ego pernah saya kenal dan tahniah sebab awak pilih untuk jadi macam tu. Suka  buat keputusan tanpa berfikir. Otak awak tu, awak letak kat mana hah? Saya teringin nak tahu yang awak menyesal atau tidak lepas awak buat sesuatu keputusan tu. hahaha.
Awak kat mana sekarang ni? Australia? Jordan? Atau awak masih di Malaysia? Awak tahu tak saya nak sangat jumpa awak lepas kali terakhir saya cium pipi awak semasa kita jumpa di lapangan terbang 2 tahun lalu?
Saya cuba hubungi awak, tapi tak dapat. Saya minta tolong dengan kawan-kawan untuk cuba hubungi awak, tapi mereka pun gagal. Kata mereka, awak dah pindah dari rumah lama awak. Saya dapat e-mel awak ni pun dari Aina. Kawan baik awak tu lah.
Saya harap kita dapat jumpa. Saya harap sangat. Please take good care of yourself, young man. Be good.
Always yours,
Sarah.

Waktu terasa seakan berhenti bergerak dan aku berasa dingin apabila aku selesai membaca e-mail ini. Sarah. Aku sudah pergi, sejauh ini, untuk melupakannya – dan dia masih ada di sana, menunggu aku. Ini sungguh gila. Bukan aku hendak lari dan meninggalkan dia, tapi aku dan dia tidak mungkin bersama. Mungkin tidak untuk kehidupan kali ini.
Selama beberapa saat, aku termenung menatap skrin laptopku, mengulang baca e-mel itu hingga aku tidak sedar yang Lisa sudah duduk di hadapanku. Dia melihat aku dengan bingung. Dia memegang mug yang berisi kopi yang dibancuhnya sebentar tadi dan menghirup kopi itu perlahan.
"Kenapa, man? Jauh awak menung..." tanyanya.
"Cinta." Jawab aku ringkas. Tanpa aku sedar, bibir aku mengukirkan sekuntum senyuman. Lisa melihat aku dan tersenyum bersama aku, walau pun aku tahu yang jawapan ringkas aku sebentar tadi tidak menjawab soalan dia.

2 comments:

APi said...

peh nais..
macam ada sekuel je.. =)

Erika Anuja said...

I love it! I really do! hehe. And now, chapter 2 pula. ;)