12.24.2013

Kakak, Kahwin dan Jodoh

Seperti orang lain, aku juga punya sesuatu yang dipanggil "wishlist". Satu senarai yang bermula dengan nombor satu dan hingga ke saat ini, ia masih terus bertambah. Ada juga yang sudah aku potong yang membawa maksud aku sudah pun melakukan perkara itu. Contohnya, membuat persembahan di atas pentas.

Cinta. Cinta ini bagi aku adalah sesuatu yang sangat berharga dan bernilai. Ianya satu perasaan yang susah untuk aku wujudkan di dalam hati aku. Tidak pastilah untuk kalian semua, tapi bagi aku ianya sesuatu yang berharga. Susah untuk diwujudkan, susah juga untuk dihapuskan.

Bila berbicara tentang cinta, pasti sahaja akan menyentuh tentang jodoh. Jodoh ini seperti yang kita tahu, sememangnya rahsia milik Tuhan. Menjelang usia 23 tahun masuk 2014 nanti, semakin ligat aku perhatikan "wishlist" yang aku ada. Sudah lama ia berada di sana. "10. Cari seorang gadis untuk dicintai setulus hati."

Pernah juga aku terfikir untuk membiarkan sahaja ayah dan mama carikan menantu pilihan mereka sendiri. Mungkin kerana cinta-cinta gagal yang aku pernah miliki dulu. Aku pula sibuk menyediakan apa yang patut untuk bakal pasangan aku nanti. Pernah juga aku berdoa kepada Tuhan, "Moga cepat aku dipertemukan dengan jodoh ku."

Tambahan pula kakak aku pun insyaAllah nak naik pelamin tahun depan. Takut juga aku nanti bila sampai masanya mak-mak saudara datang dan kepit lengan aku sambil berbisik, "Bila hang nak kahwin ni, Ariff?" dan aku hanya mampu menjawab dengan senyuman sinis dan tidak selesa. Selalu juga aku nampak senyuman macam tu.

Nak kahwin ni bukan benda mudah. Kenduri tu tak kisah sangat besar ke kecil. Yang penting lepas kenduri tu. Mampu ke nak jaga anak dara orang kalau minyak kereta pun paling banyak isi Rm20 je. Ayah pun banyak kali dah pesan. Dia pun kahwin bila dia yakin boleh jaga anak orang elok-elok. Kena tengok kemampuan juga. Tapi, ada juga yang cakap lepas kahwin rezeki lagi murah.

Doa tetap doa. Jangan putus doa tu. Moga-moga sampai jodoh tu nanti, walau pun tak bersedia, yakinlah memang dah sampai waktunya kahwin. Yang penting sabar dan selagi ada masa tu, persiapkan apa yang patut. Aku ni selagi takde rumah dan kereta sendiri, jangan mimpi nak kahwin. Parents tengok tu sebenarnya. Amboi. Inilah jadinya bila sibuk join kakak sembang pasal kahwin.

1 comment:

Ain said...

Moga awak dah kawin. Semua tulisan awak sedap dibaca.